Monday 30 July 2012

~BEST FRIEND TILL JANNAH~


 
  “Lisa,awak dari mana ni?? Dah pukul 1 pagi baru nak balik rumah? Awak kena ingat awak tu anak dara.Tak eloklah keluar sampai lewat malam macam ni.” Begitulah rutin harian Masyitah. Hampir setiap hari dia membebel kepada teman sebiliknya yang dikenali sejak hari pertama dia mendaftar di Universiti Malaya.

     Tahun ini masuk tahun ketiga mereka berada dalam jurusan perubatan. Kedua-duanya mendapat tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).Maklum sajalah kos pengajian untuk bidang perubatan sangat mahal dan memerlukan tajaan. Lisa dan Masyitah,kedua-duanya merupakan pelajar pintar. Hampir setiap kali peperiksaan,mereka berjaya mendapat Anugerah Dekan. Sudah ditakdirkan Allah,mereka ditempatkan di bilik yang sama dan sehingga sekarang menyewa di rumah sewa yang sama dan mahu tinggal di bilik yang sama.Mereka tidak pernah cemburu dengan kejayaan masing-masing.Yang uniknya mereka ini selalu berkongsi ilmu dan selalu membuat diskusi bersama-sama.Walaupun perangai mereka jauh berbeza,tetapi mereka masih boleh berkawan rapat.

      Masyitah,seorang gadis bertudung dan berpakaian mengikut syarak tetapi masih bergaya dan moden. Boleh dikatakan di kampusnya,dia seorang yang aktif dalam bidang dakwah dan tarbiah walaupun pengajiannya dalam bidang perubatan sangat sibuk. Tapi dia faham,dakwah tetap nombor satu dan belajar bukan nombor dua.

     Manakala Lisa pula seorang gadis cantik berdarah kacukan Melayu-Arab yang memang menjadi kegilaan pemuda-pemuda di kampusnya.Bukan sahaja tinggi lampai,Lisa juga dikurniakan rambut lurus yang cantik secara semulajadi malahan mempunyai auranya yang tersendiri.Maklumlah anak orang kaya,mesti ada kelasnya yang tersendiri.Namun dia tidak sombong dengan kelebihan yang dimilikinya dan masih boleh berkawan dengan sesiapa sahaja.Mana tidaknya,daripada teman-temannya yang lain yang mempunyai status yang sama dengannya,dia tetap memilih Masyitah untuk menjadi roommatenya.Masyitah tidaklah kaya tapi hidupnya sudah mampu disyukuri. Mungkin sifat sederhana itulah yang membuatkan Lisa senang dengannya.Tidak seperti kawannya yang lain yang kebanyakannya suka mengambil kesempatan. Tapi sayangnya,Lisa tidak begitu menitik beratkan hal-hal agama.Sangat berlainan dengan Masyitah.

  “ Ish,Syita ni setiap kali balik mesti nak membebel.Rimas tau tak!Lisa ada kerja la kat luar,Lisa study dengan Danial.Kan minggu depan Lisa ada presentation so kena la bincang mana yang patut.Lagipun Danial kan satu group dengan Lisa.”ngomel Lisa.

   Danial Tengku Shahran merupakan pelajar lelaki paling popular dalam fakulti perubatan.Boleh dikatakan dia mempunyai pakej yang lengkap. Bijak,kaya dan handsome.Memang menjadi kegilaan ramai pelajar perempuan dan dicemburui oleh kebanyakan pelajar lelaki.Danial terkenal dengan sikapnya yang agak playboy namun entah macam mana Lisa boleh tahan dengan perangainya itu.

    “ Aish,takkanlah buat discussion sampai pukul 1 pagi. Syita ni bukan ape tau.Syita cuma risau je.Kan sekarang banyak kes-kes negative berlaku melibatkan remaja sekarang ni.Syita cuma nak ingatkan Lisa tak elok keluar dengan lelaki bukan muhrim.Boleh timbul fitnah nanti.Lelaki dan perempuan ni tak boleh duduk berdua-duaan,nanti yang ketiganya…”

    “ Syaitan kan??” sampuk Lisa. “Haha..Lisa tahu la Cik Syita sayang!.Danial baik ape.Dia tak pernah ambil kesempatan tau.Lisa tahu dia boleh jaga Lisa. Don’t worry ok honey!” kata Lisa sambil tangannya mencubit hidung mancung Masyitah. “ Tapi dah banyak kali kan Syita cakap even keluar je pun dah dikira salah tau.Tambah-tambah pula hanya korang berdua je.Risau Syita tau.Lelaki ni selagi belum sah jadi suami kita selagi itu tidak boleh dipercayai sangat.Ingat tu Lisa.”
“Yela mak cik…” balas Lisa sambil kakinya menuju ke bilik air.

    Begitulah akrabnya dua orang sahabat itu.Walaupun boleh dikatakan perangai mereka berbeza seperti langit dan bumi,tetapi mereka masih boleh menjadi teman rapat.Lisa tidak pernah marah dengan teguran dan bebelan daripada Masyitah malahan dia rasa sangat bersyukur kerana mempunyai seorang teman yang begitu mengambil berat tentang dirinya.Cara Masyitah menegurnya sangat lembut dan mudah diterima. Namun hatinya masih keras untuk berubah dan terasa amat sayang untuk melepaskan segala-galanya terutamanya Danial. Dia tahu benda itu salah tetapi dia rasa belum bersedia untuk menjadi Lisa yang baru.

   Disebabkan keakraban itu jugalah,Masyitah rasa bertanggungjawab untuk mengubah cara hidup Lisa yang suka bersosial. Tetapi Lisa masih mempunyai prinsip yang dia tidak akan pernah menjejakkan kaki ke pusat-pusat hiburan dan tidak akan sesekali meneguk air kencing syaitan iaitu arak.Dia tidak mahu menjadi seperti segelintir kawan-kawannya.Sejahil-jahil Lisa, dia masih tahu halal dan haram.  Cuma yang menjadi kerisauan Masyitah macam mana dia nak pastikan supaya Lisa tidak terlalu berkepit dengan Danial. Dia tidak mahu Lisa hanyut dengan hubungan cinta yang tidak ada nilainya di sisi ALLAH.  “Isu couple memang sangat susah dibendung.”ngomel hati kecilnya. Banyak juga nasihat yang diberikan tetapi kebanyakannya seperti masuk ke telinga kiri keluar ke telinga kanan..Namun itu tidak pernah mematahkan semangat Masyitah untuk terus menasihati Lisa.

  
                                       *****

        Masyitah teringat kata-kata seorang murabbi dalam program yang dihadirinya dua hari yang lepas. Masa Rasulullah berdakwah dahulu, 13 tahun pertamanya adalah untuk menekankan perkara tauhid iaitu untuk memantapkan akidah umatnya.Apabila sudah mantap barulah ALLAH turunkan pasal hukum-hukum feqah.Cuba kita tengok zaman Sumayyah.Masa itu belum ada lagi perintah untuk menutup aurat tetapi disebabkan keyakinan dan keimannya kepada ALLAH,dia dijanjikan syurga oleh ALLAH setelah kematiannya..Nak cakap kat sini,konsep tauhid itu yang paling penting..” 

   “Sekarang baru aku faham..Aku kena sentuh hati Lisa dengan hal-hal berkaitan dengan iman dan Islam dahulu..apabila dia faham, secara automatik dia dapat nilai sendiri mana yang betul dan mana yang salah..Aku kena ajak dia…Kali ni kau kena kuat Syita.Dah terlalu lama masa yang kau ambil untuk kau mendapatkan kekuatan untuk ajak dia..” ngomel hati kecilnya dengan riak muka yang penuh semangat. Ya ALLAH,kuatkanlah hati hamba-Mu ini dan bukakanlah pintu hati Lisa…AMIN..
                     
                                   *****

      Sudah menjadi kebiasaan setiap dua minggu, Masyitah dan Lisa akan keluar untuk membeli barang-barang keperluan rumah. Lisa suka memasak dan sangat jarang makan di luar kerana baginya memasak sendiri lebih memenuhi selera dan terjamin kebersihannya. Pada mulanya Masyitah agak pelik kenapa anak orang kaya seperti Lisa suka memasak.Kalau beli je kat kedai kan lebih senang..Tetapi Lisa ni lain sedikit orangnya.Dia memang suka memasak dan memasak memang sudah menjadi kegilaannya.Pantang ada resepi baru mesti mahu dicubanya. Dan hampir semua sentuhan tangannya sedap.Yang untungnya cik Masyitah lah,tukang kritik dan tukang makan.  Setelah selesai membeli apa yang patut,mereka singgah di sebuah kafe  untuk makan tengah hari. Disebabkan terlalu lapar kerana tidak sempat bersarapan pagi tadi,terpaksalah mereka makan tengah hari di kafe itu.

     “ Ini peluang kau!! Come on Syita..Just ask her..Belum cuba belum tahu!!”bisik hati Masyitah..Dengan kekuatan yang diberikan ALLAH,Masyitah membuka bicara setelah kedua-duanya membisu untuk waktu yang agak lama kerana Lisa asyik dengan I-phonenya.

   “ Lisa,Lisa pernah dengar kan pasal usrah?” tanya Masyitah sambil mulutnya menyuap spaghetti bolognaise kegemarannya.

    “ Owh,usrah.Macam pernah dengar.Bukan ke usrah tu yang selalu Syita pergi tiap-tiap minggu??” “A’ah.Yang tu lah.Lisa rasa usrah itu ape?”pertanyaan itu sengaja ditanya untuk menarik minat Lisa.

     “Hmm..ntahla.Kelas mengaji kot.Sebab Lisa selalu je Nampak Syita bawa tafsir al-Quran setiap kali pergi.” jawab Lisa ringkas.

    “ Jawapan Lisa tu tak salah tapi tak tepat lagi.hehe.Lau Lisa nak tahu,usrah tu sebenarnya maksudnya keluarga.Dalam usrah itu sendiri akan ada beberapa orang adik-beradik usrah dan seorang naqibah atau murabbi.Naqibah tu adalah kakak yang handle usrah ni.Dan untuk pengetahuan Lisa naqibah Syita sendiri adalah seorang doktor kat Hospital Serdang.Dia sangat best.Sebab ni lah Syita nak ajak Lisa join sekali sebab benda ni memang kita perlukan dan tak rugi pun lau Lisa join.At least,dalam seminggu,jiwa kita terisi juga dengan benda-benda kerohanian macam ni.Dan untuk pengetahuan Lisa jugak dalam usrah itu sendiri ada tiga elemen iaitu tilawah, tadabbur  iaitu membaca terjemahan al-quran dan ta’lim (mengajar)..Semua ini untuk mendidik hati kita.Insya-ALLAH.. Tetapi yang itu berdasarkan usrah Syitah la.Mungkin usrah orang lain berbeza sedikit cara pengisiannya…” 

    “Bunyi macam menarik.Tapi Lisa kena fikir dulu lah Syita.Lisa takut tak bersedia dan tak boleh bagi komitmen nanti.Just pray for me ok?” jawab Lisa.

   “Ok lah lau macam tu..Take your  time.Tapi Syita tak nak dengar alasan Lisa tak bersedia..Nak tunggu sampai bila Lisa.Kadang-kadang kita sendiri pun tak sedar bila kita dah bersedia.Ntah-ntah sebenarnya Lisa dah bersedia cuma you just deny it. And Syita ajak Lisa ni sebab Syita sayang Lisa kerana ALLAH..Syita nak sangat Lisa rasa apa yang Syita rasa sekarang. Sebab Lisa pun tahu kan Syita dulu macam mana.Syita pernah macam Lisa dulu..” kata Masyitah dengan nada yang agak sebak.

   “ Ok…Insya-ALLAH..” jawab Lisa dengan senyuman di bibirnya.Ringkas,tetapi sangat bermakna jawapan itu buat Masyitah. Bukan mudah untuknya mengeluarkan topik tentang usrah.  Agak lama masa yang diambil oleh Masyitah untuk berbicara tentang topik itu.Dia cuma takut kalau Lisa tidak suka dan mempunyai salah faham tentang usrah.Alhamdulillah reaksi Lisa nampaknya positif. Sekarang dia hanya mampu berdoa kepada ALLAH semoga dibukakan pintu hati sahabatnya itu.


                            *****

    Sudah hampir tiga hari Lisa memikirkan tentang ajakan Masyitah. “Mungkin ini masanya!!” ngomel Lisa sendirian.Sebenarnya sudah lama Lisa menantikan ajakan Masyitah itu kerana dia juga berkeinginan untuk berubah seperti Masyitah. “Masyitah pun boleh berubah,kenapa tidak aku?” Lisa bermonolog sendirian. Memang tidak dapat dinafikan Masyitah yang dikenalinya sekarang tidak seperti Masyitah yang dikenalinya dahulu sewaktu baru beberapa bulan berada di Universiti Malaya. Dahulu,penampilan Masyitah cukup berbeza dengan sekarang.

    Walaupun sudah bertudung,tetapi jeans dan baju t-shirt sendat sentiasa menjadi pilihannya.Melepak dengan budak-budak lelaki itu perkara biasa baginya. Tudung pula tidak pernah menutup dada,sekadar menutup kepala sahaja. Tetapi lama-kelamaan Lisa perasan dengan perubahan yang berlaku dalam diri Masyitah. Memang perubahan itu tidak berlaku secara drastik tetapi berterusan.Tengoklah sekarang Masyitah telah berubah secara total. Dari segi pemakaian,percakapan dan pergaulan. No more jeans,short t-shirts and mini tudung..Sekarang yang menjadi pilihan Masyitah adalah bertudung menutup dada dan memenuhi syarak,baju yang longgar dan labuh,berstoking dan memakai sarung lengan sampai menutupi pergelangan tangan dan lebih gemar memakai skirt labuh berbanding seluar walaupun seluar itu tidak ketat dan tidak menampakkan bentuk. Dan boleh dikatakan tafsir al-Quran selalu bersamanya walau ke mana sahaja dia pergi.

    Lisa selalu tertanya-tanya macam mana dia boleh berubah.Dan jawapan Masyitah selalu sama. “Ini semua dengan izin ALLAH.If Lisa nak tahu,jomlah ikut Syita join usrah.” Pada masa itu hati Lisa belum tertarik untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang usrah kerana dia belum rasa kepentingannya lagi.Dia juga sangat-sangat tidak bersedia lagi untuk berubah.Sekadar ingin tahu..Tetapi Masyitah tidak pernah putus-putus untuk berkongsi apa yang dia dapat semasa usrah.Walaupun kadang-kadang dia tahu Lisa hanya mendengarnya sekadar mahu menjaga hatinya sebagai seorang sahabat.Bukan betul-betul mahu mengetahui dan memahaminya dan kebanyakannya tidak terkesan langsung di hati Lisa.

   Namun entah kenapa ajakan Masyitah kali ini dirasakan cukup ikhlas dan bersungguh-sungguh.Lisa tahu Masyitah tidak pernah berputus asa untuk mengajaknya mengikuti usrah.Mungkin Masyitah mahu Lisa juga rasa ketenangan yang dia rasa sekarang dan mahu dirinya juga sama-sama berubah. Dia tahu Lisa sedang mencari sesuatu sama seperti dirinya dahulu.Setelah mendapat tarbiah melalui usrah,baru Masyitah sedar akan matlamat hidupnya yang sebenar. Dia mahu Lisa juga mengetahui matlamat itu..Masih belum terlambat..

    Tiba-tiba Lisa teringat tentang  petikan ceramah daripada seorang ustaz yang didengarnya melalui sebuah stesen radio. 

   “ Hidup kita di dunia ni hanya sementara.Saya ulangi hanya sementara.Kenapa kita mahu sia-siakan akhirat yang kekal abadi untuk dunia yang sementara,iaitu persinggahan semata-mata. Apa yang kalian takutkan? Takut untuk meninggalkan semua benda keduniaan yang tidak ada nilainya di sisi ALLAH? Janganlah kamu menjadi seperti buih,dijentik terus pecah.Rasulullah S.A.W telah mengetahui akan datangnya zaman ini. Sabdanya :


   “Kelak umat-umat lain akan mengerumuni kalian seperti orang-orang lapar mengerumuni hidangan.”
   Sahabat-sahabat bertanya, “ Apakah ketika itu bilangan kami sedikit Ya Rasulullah?”
   Rasulullah S.A.W menjawab, “ Tidak,bahkan kamu ramai,tetapi kamu seperti buih di lautan.Kamu telah diserang penyakit wahn.”
   Sahabat bertanya lagi, “ Apakah wahn itu ya Rasulullah?”
   “ Cinta akan dunia dan takut akan mati.”



  
   “ Come on Lisa.Nak berubah tak boleh tangguh-tangguh.Aku tahu cara hidup aku sekarang tidak betul-betul memenuhi tuntutan Islam.Aku mengaku Islam tapi aku tak buat pun ape yang sepatutnya seorang Muslim itu buat. Tengok jelah cara aku berpakaian,dah tak dapat dibezakan aku ni Islam ke bukan Islam.Aku dan diorang sama je.Tak de beza pun…Ya ALLAH,kuatkanlah hati hambaMu ini,sesungguhnya aku betul-betul mahu berubah.Bimbinglah aku Ya ALLAH. Aku tidak mahu bertangguh lagi. Aku takut dengan kata-kata Masyitah tempoh hari…

   “Nak berubah ni tak boleh la bertangguh-tangguh.Once kita tahu benda tu salah,kita kena terus tinggalkan dan bertaubat.Ingat,kematian itu tidak boleh ditangguh dan kita tak tahu bila ajal kita.Macam mana kalau nyawa kita ditarik dahulu sebelum kita sempat bertaubat?? Nauzubillah..” Tanpa sedar,Lisa menitiskan air matanya..Dia mahu berubah,dia mahu redha ALLAH,dia mahu syurga ALLAH..Dia tahu itu bukan senang,tapi dia akan berusaha..Masih belum terlambat…Akhirnya dia lena dengan titisan air matanya.
                            
                            *****

    Kuliah hari ini tamat lebih awal daripada biasa.Seperti biasa,pantang ada kelapangan waktu,pasti Masyitah dan Lisa akan ke perpustakaan untuk mengulangkaji pelajaran.Maklum sahajalah jurusan perubatan ini sangat sibuk dan setiap masa yang terluang perlu diisi dengan hal-hal yang berkaitan dengan subjek perubatan. Masa itu dikatakan lebih berharga daripada emas.

   Sudah menjadi kebiasaan,sebelum memulakan aktiviti mengulangkaji pelajaran,

Masyitah akan membaca satu helai muka surat al-Quran beserta terjemahannya sekali. Lisa selalu memerhatikan tindakan Masyitah tetapi dia lebih selesa untuk berdiam diri dan tidak bertanya apa-apa.Walaupun kadang-kadang hatinya cukup kagum dengan Masyitah.Al-Quran sentiasa menjadi penemannya walau ke mana sahaja dia berada.Pernah sekali ditanya,dan jawapan Masyitah ringkas sahaja. “Bila baca al-Quran ni hati Syita jadi tenang sangat-sangat.”

   " Dengan hanya mengingati ALLAH hati menjadi tenang.."

   “
Tenang?tenang yang macam mana?? Aku pun setakat ni tak de lah rasa serabut sangat.Mungkin kadang-kadang terasa jiwa aku kosong.Mungkin jiwa itu yang patut aku isi dengan bacaan al-Quran..mungkin..”
 “ Lisa,nape termenung je ni??” bicara Masyitah menghentikan lamunannya..

  “Owh,tak de pape Syita..”
    Hari ini entah kenapa Lisa tertarik untuk bertanyakan Masyitah tentang rutinnya itu.Dia tertarik dengan penanda berpelekat yang berwarna-warni pada tafsir al-Quran Masyitah yang berwarna hijau epal itu.

   “Syita,apa sebenarnya penanda yang Syita lekatkan itu?? Setiap kali Syita buka tafsir tu,mesti ada je yang Syita lekatkan..”

  “ Owh,yang ni sebenarnya ayat-ayat best yang Syita rasa sangat bermakna.Sebab tu kita kena baca al-Quran beserta tafsirnya sebab banyak sangat ‘love letter’ yang ALLAH bagi untuk kita.Kalau kita baca je al-Quran tapi tak faham maksudnya dan ape sebenarnya yang ALLAH nak sampaikan kat kita,macam tak best je kan? Sebab kita tak dapat feel sangat.Sebab itu sangat-sangat digalakkan kita tilawah,then baca maksud dan aplikasi yang mana patut dalam kehidupan kita.Kan ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah..”

  “ Lisa baru teringat.Macam tiga elemen dalam usrah tu kan?”

  “ Yup,exactly.Sebab itu kita perlukan seorang naqibah supaya kita boleh tanya mane ayat-ayat yang kita tak faham sangat dan biasanya ada penceritaan di sebalik turunnya ayat-ayat itu.Maklum sahajalah ilmu kita tak banyak,sebab itu kita kena mencari Lisa..Dan sebab itu Syita ajak Lisa…..”

   Bicara mereka terhenti seketika.Masyitah melihat Lisa sedang termenung bagaikan memikirkan sesuatu.

   “Owh,alang-alang Lisa bertanya ni mari Syita tunjukkan ayat first yang Syita dapat masa pertama kali Lisa join usrah dulu .Nah,tengok ni.Dalam ayat ni, ALLAH berfirman: 


    "Dan sungguh akan Kami isi neraka jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia.Mereka memiliki hati tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat ALLAH) dan mereka mepunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya utuk melihat (tanda-tanda kekuasaan ALLAH) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat) ALLAH.Mereka seperti haiwan ternak,bahkan lebih sesat lagi.Mereka itulah orang-orang yang lengah." (7:179) 

    Tiba-tiba tanpa diduga air mata Lisa menitis.Bagaikan satu perasaan aneh menyerbu perasaannya.Entah kenapa hatinya begitu terkesan dengan maksud ayat itu walaupun secara dasarnya dia tidak begitu memahami ayat itu dengan jelas. Tangisan Lisa semakin kuat dan teresak-esak.Dia sudah tidak mempedulikan keadaan sekeliling yang memandangnya.

 “Kenapa ni Lisa??Lisa sakit ke?” tanya Masyitah dalam keadaan yang sedikit cemas. Mana tidaknya dia belum pernah lagi melihat sahabatnya itu menangis sampai begitu sekali.

  “ Lisa takut.Lisa dah banyak buat dosa..Lisa nak bertaubat..” kata Lisa dengan nada teresak-esak..

  “ Alhamdulillah Lisa.Sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun.Dan hanya pada ALLAH kita memohon keampunan.Mungkin ini masa yang terbaik yang ALLAH berikan untuk Lisa berubah.Bersyukurlah Lisa kerana ALLAH masih sayangkan Lisa.Dia mahu Lisa bertaubat dan berubah..Dah dah,tak nak nangis-nangis dah.Buruk muka tu ok??” pujuk Masyitah sambil berseloroh. Sungguh, perasaan Masyitah ketika itu mahu sahaja dia sujud syukur di situ juga tanda kesyukurannya kepada ALLAH yang telah menyentuh hati sahabatnya itu untuk berubah. Terima kasih Ya ALLAH…

  ALLAH S.W.T berfirman :

    "Dan barang siapa berbuat kejahatan dan menganiayai dirinya,kemudian dia memohon ampunan kepada ALLAH,niscaya dia akan mendapatkan ALLAH yang Maha Pengampun,Maha Penyayang."(4:110)

                                       *****

  “ Dah betul-betul nekad ke aku ni?? Kalau Syita tengok nanti tak ke terkejut? Hmm..tapi aku dah betul-betul bersedia.Tak mahu dah tangguh-tangguh lagi. Yang penting aku ikhlas nak berubah kerana ALLAH..”

   “ Lisa oh Lisa…Lambat lagi ke bersiap tu?? Dah dekat 10 minit tau Syita tunggu ni..Awak tu dah cantik la,tak perlu nak make-up tebal-tebal sangat.Lagipun tempat yang kita nak pergi ni tidak melibatkan lelaki ok?”
 bebel Masyitah sambil bergurau.

   “ Kejap,kejap.Dah siap dah ni. Final touch!!” jawab Lisa sambil tangannya mengenakan brooch berbentuk Love di bahunya. Dengan langkah perlahan dan sedikit gementar,Lisa melangkah keluar dari biliknya.

  “ Syita…” panggil Lisa dengan nada yang lembut.. Syita terus  berpaling dan tiba-tiba tas tangannya terjatuh ke lantai…

  “ Masya-ALLAH… Lisa,you look very beautiful with the hijab..” Disebabkan terlalu teruja dia terus memeluk Lisa. “Is it??” tanya Lisa dengan nada gembira. “ Betul la Lisa..Syita ikhlas tau. Pandai Lisa kenakan tudung ni dengan baju kurung ni. Sangat matching and you looked so sweet!!” puji Masyitah sambil tangannya mencubit pipi Lisa yang dari tadi kemerah-merahan kerana malu.

 “ Haha..Thank you Syita.Oh ya.Sorry ok sebab Lisa dah guna tudung Syita tanpa minta kebenaran Syita dulu..Saje je nak surprise kan Syita tadi.”
 “ Its ok la Lisa. Syita tak kisah pun. Hah,disebabkan Syita terlalu gembira hari ini,Syita hadiahkan tudung ni buat Lisa.Dan Syita  nak ajak Lisa shopping nanti.Boleh la beli baju muslimah dan tudung baru nanti..”
  “ Really?? Terima kasih Syita. Wah,tak sabar Lisa nak shopping nanti.Lisa rasa sangat bersyukur sebab dikurniakan sahabat seperti Syita.Syita lah kawan Lisa dunia dan akhirat..” kata Lisa sambil memeluk Syita dengan nada sebak. “ Dah dah..tak maulah tacing-tacing kat sini..hehe.Kita dah lambat ni.Usrahmate kita tu tak sabar-sabar nak jumpa Lisa tau.Maklumlah ahli baru la katakan…” 

   Itulah kali pertama Lisa mengikuti usrah.Sungguh dia dapat rasakan satu kelainan apabila berada dalam kalangan orang-orang yang sudah mendapat tarbiah.Cara mereka bercakap,bergurau dan bergaul sangat berlainan dengan kawan-kawannya dahulu. Mereka tidak seperti yang Lisa sangkakan pada mulanya. Lisa ingatkan mereka ini adalah orang-orang yang serius dan jika mahu bercakap perlu berhati-hati.Tetapi itu tidak benar sama sekali. Usrahmatenya rata-rata orang yang periang dan open-minded.Banyak masalah yang boleh dibincangkan sekali dengan bimbingan naqibah. Tetapi setiap hujah dan bual bicara yang dikeluarkan mesti berkaitan dengan al-Quran dan hadis. Mesti ada pengajaran daripada setiap topik yang dibincangkan.Itulah yang membuatkan Lisa kagum dengan Masyitah,usrahmatenya dan lebih-lebih lagi naqibahnya. Lisa bertekad mahu menjadi seperti mereka  suatu hati nanti.Insya ALLAH.
  
                                   *****

    Alhamdulillah sudah hampir lima bulan Lisa berada dalam environment tarbiah. Boleh dikatakan setiap aktiviti yang melibatkan dakwah dan tarbiah yang dianjurkan, dia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melibatkan diri bersama Masyitah. Boleh dikatakan perubahan yang berlaku terhadap diri Lisa menjadi bualan ramai pelajar di kampusnya.Tanpa mengambil masa yang lama Lisa boleh berubah secara total.Setinggi-tinggi syukur Lisa panjatkan ke hadrat Ilahi kerana memberikan taufik dan hidayah kepada dirinya untuk berubah.

   Sebenarnnya hidayah itu sentiasa menyapa hati-hati kita Cuma kita sendiri yang menolaknya dan buat-buat tak endah.Ini kerana perasaan wahn itu masih tidak boleh dibuang dari diri masing-masing. Perasaan yang terlampau cintakan dunia itu sangat susah dibuang. ALLAH S.W.T berfirman :

   “Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan,perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlomba dalam kekayaan dan anak keturunan,seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani,kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari ALLAH serta keridaan-Nya.Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu.” (57:20)
  
     Ada sahaja yang tertapis dari terus mengikuti usrah.Selepas dua tiga kali mengikuti usrah,ada yang terus tarik diri,tidak mahu teruskan. Tetapi Lisa bersyukur kerana dikuatkan hati oleh ALLAH untuk meneruskan usrah kerana jika nawaitu kita betul dalam mencari redha ALLAH insya ALLAH,ALLAH akan sentiasa membantu kita.

  “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) ALLAH,nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu..”(47:7)

   
Alhamdulillah juga,masalah couple Lisa juga telah dapat diselesaikan. Selepas tiga bulan mengikuti usrah,Lisa bertekad untuk memutuskan hubungannya yang tidak halal dengan Danial. Baru sekarang dia faham kenapa Masyitah selalu melarang hubungan mereka.Sesungguhnya ALLAH S.W.T  telah berfirman :
     “Janganlah kamu mendekati zina,(zina itu suatu perbuatan yang keji,dan satu jalan yang buruk.) ”(17:32)

    Maksudnya di sini adalah ALLAH mengatakan jangan kamu hampiri zina.Sekarang baru Lisa faham bahawa keluar berdua-duaan,sentuh tangan,bersembang macam tiada batas pergaulan adalah cabang-cabang ke arah zina. Sebab itulah dia rasakan dia perlu meninggalkan semua itu kerana cinta yang mahu diraihnya adalah cinta ILLAHI. Dan dia sudah mempunyai prinsip sekarang…sebelum nak bercinta kena mendapatkan cinta yang hakiki dahulu iaitu cinta ALLAH,yang kekal abadi.

  Lisa juga selalu teringat pesan Masyitah bahawa janji ALLAH itu pasti dan perlu diyakini. ALLAH berfirman:


   "Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji untuk perempuan yang keji(pula),sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik(pula)…."(24:26) 

   “ 
Jadi Lisa,nak cari suami yang soleh,kita kena lah jadi solehah dahulu..” pesan Masyitah kepadanya bersungguh-sungguh..

    Sungguh,kehidupannya sekarang jauh berbeza.Barulah dia faham dengan nikmat ketenangan yang Masyitah pernah ceritakan kepadanya dahulu. Ketenangan yang begitu mendamaikan.Dia juga mahu menjadi seperti Masyitah untuk cuba menarik kawan-kawannya yang sudah tersasar daripada matlamat hidup yang sebenar. Itu memerlukan masa dan yang paling penting dia berusaha untuk mengajak dan menyampaikan kepada kawan-kawannya juga.Hidayah itu sesungguhnya milik ALLAH semata dan dia hanya mampu untuk menyampaikan apa yang pernah Masyitah sampaikan kepadanya dahulu. Dia juga mahu mengajak kawan-kawannya sebagaimana Masyitah yang tidak pernah putus-putus mengajaknya dahulu. Insya ALLAH…


                                *****

   Setelah menunaikan solat Magrib berjemaah,seperti kebiasaannya Lisa dan Masyitah akan melakukan sesi perkongsian.Tidak kisahlah perkongsian perasaan ke,ilmu ke atau apa-apa sahaja.Kali ini giliran Lisa memulakan sesi tersebut.

  “ Lisa nak share pasal satu hadis dari hadis 40.Bila baca hadis ni, Lisa rasa hadis ni sangat best dan bermakna.Hadis ini menerangkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,
 

     "Tidak sempurna iman seseorang dia antara kalian sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.. " ( hadis ke-13)



  “ Sweet kan Syita hadis ni?? Sekarang Lisa baru faham kenapa Syita sanggup lakukan apa sahaja supaya Lisa dapat kenal dan rasa nikmatnya tarbiah ini. Lisa bersyukur sangat-sangat sebab Syita tak pernah give up untuk approach Lisa sehingga Lisa menjadi seperti hari ini..Thank you so much Syita..I  love you so much because of ALLAH….” Bicara Lisa sambil tangannya erat menggenggam tangan Masyitah. Air mata kedua-dua sahabat itu menitis ke pipi tanpa disedari.

  Masyitah rasa sangat dihargai dan dia juga bersyukur kerana ALLAH permudahkan segala usahanya.Walaupun agak lama masa yang diambil,tetapi itu tidak menjadi masalah atau beban buat Masyitah kerana dia  yakin bantuan ALLAH  itu di hujung usaha..Masyitah tidak boleh berlepas tangan tanpa berbuat apa-apa.Dia tahu ALLAH memang mentakdirkan mereka untuk bersama supaya Masyitah dapat mengubah Lisa. Lisa adalah amanah yang telah ALLAH berikan kepadanya.

 
 “ Lisa tahu tak,bila Syita berkawan dengan Lisa,Syita bina hubungan ini atas dasar untuk mencari redha ALLAH.Jadi,Syita rasa bertanggungjawab untuk menjaga Lisa dan cuba menarik Lisa sekali dalam mencari redha ALLAH.Insya ALLAH…Dan Lisa perlu ingat persahabatan kita ni bkan sekadar BEST FRIEND FOREVER (BFF) tetapi kita adalah BEST FRIEND TILL JANNAH  (BFTJ)Amin..”
    Dalam linangan air mata,Lisa terus memeluk Masyitah.Erat.Rasa tidak mahu dilepaskan. Bagi Lisa, Masyitahlah sahabatnya yang sejati yang tidak boleh dicari ganti. Sekali lagi,Lisa sangat-sangat bersyukur kerana ALLAH telah mengurniakan seorang sahabat dunia dan akhirat buatnya…sahabat yang tidak akan pernah meninggalkannya walaupun dia berada hampir dengan jurang neraka suatu ketika dahulu.

                                 ~ THE END~


 “ Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah,dan janganlah kamu bercerai berai,dan ingatlah nikmat ALLAH kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan lalu ALLAH mempersatukan hatimu,sehingga dengan karunia-Nya kamu menjadi bersaudara,sedangkan(ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka,lalu ALLAH menyelamatkan kamu dari sana.Demikianlah, ALLAH menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.” ( Ali Imran 3:103)

              ~HAK CIPTA TERPELIHARA BY SITI FARAH AIMAN~

No comments:

Post a Comment