Sunday 12 August 2012

INSYA ALLAH~BESAR MAKNANYA~

    “Balqis! Balqis! Tunggu kejap.Aku ada hal nak cakap dengan kau ni.” laung Misha apabila melihat Balqis keluar dari dewan kuliahnya. Dari tadi lagi dia menunggu Balqis kerana dia tahu  perkara yang bakal disampaikannya itu pasti akan menarik perhatian Balqis.

    “ La,awak rupanya Misha. Saya ingatkan siapa la tadi yang terjerit-jerit panggil nama saya. Kenapa tersengih-sengih macam kerang busuk ni? Ada apa-apa yang menarik ke?”
     “ Memang menarik! Kau nampak tak muka aku tengah excited gila ni? Nah,baca ni. Aku pasti kau pun akan excited macam aku jugak lepas ni.”

                                   Pertandingan Futsal Terbuka Kolej Belia
                                   Tarikh  : 25 Julai 2010-27 Julai 2010
                                   Tempat : Gelanggang Futsal Kolej Belia
                Yuran Pendaftaran : RM5 bagi setiap pasukan bagi lelaki dan perempuan

     
     “ Wah,pertandingan futsal! Bestnya. Dah lama saya tak asah skill saya bermain futsal ni.Eh,kejap-kejap. Macam mana awak tahu yang saya minat main futsal ni?” tanya Balqis kehairanan.
    “ Balqis,kau kan pernah cakap kat aku dulu yang kau pernah main futsal sampai peringkat negeri. Cuma kat sini je kau tak berpeluang nak main. Maklumlah futsal court tu memang budak lelaki la yang conquer. Dan aku tahu kau tak akan main kalau budak-budak lelaki ada. Aku ajak main badminton kat tepi padang pun tak nak. Bukan ramai pun lelaki kat tepi padang tu.”
  “ Bukan masalah ramai ke tak.Tapi bagi saya bermain di kawasan terbuka macam tu tak selesa la.Lainlah kalau main di dalam dewan atau tempat yang khusus untuk perempuan main,baru ok. Bukan apa,mana tahu masa bermain tu,tudung kita terangkat ke? Dan mungkin ada budak lelaki ternampak ke? Sia-sia jela apa yang kita jaga selama ni. Lebih baik mengelak cik Misha oi.”
   “ Yela.yela.Aku faham.Tapi macam mana kau nak masuk pertandingan ni? Kan budak lelaki ada jugak yang  akan involve.”
“ Tu yang saya tengah fikir. Tapi saya rasa masalah tu boleh diselesaikan. Awak tahu tak lecturer mana yang in charge dalam pertandingan ni?”
“ Puan Aisyah. Kenapa kau tanya?”
“ Adalah.hehe. Macam ni,awak cari dulu orang yang nak main. Bila dah cukup beritahu saya ok?” kata Balqis sambil mengenyitkan matanya.
  “ Ok. Kau ni misteri betullah. Apa-apa hal aku beritahu.Aku dah lambat dah ni. Ada kelas Anatomy. Lambat masuk nanti kena telan aku dengan Puan Zalina nanti. Bye.”
  “ Haha.Awak ni macam-macam la.Baiklah.See you soon!”

                                                            *****

      “ Assalamualaikum Puan Aisyah.Boleh saya masuk?” tanya Balqis setelah mengetuk pintu bilik Puan Aisyah.
     “ Waalaikumussalam.Owh,Balqis.Silakan masuk. Awak ada apa-apa masalah ke berkaitan subjek Physiology?”tanya Puan Aisyah yang terkenal dengan sikapnya yang suka mengambil berat tentang pelajar-pelajarnya. Puan Aisyah merupakan ketua jabatan Physiology di kolej itu.
    “ Sebenarnya puan,saya nak jumpa puan ni bukan sebab nak bertanya pasal pembelajaran. Setakat ini alhamdulillah semuanya masih ok. Tidak ada masalah. Cuma saya nak tanya puan pasal pertandingan futsal tu.Puan kan yang in charge dalam pertandingan tu?”
   “ Ye saya yang uruskan. Kenapa ya Balqis?”
   “ Saya ada permintaan ni.Boleh tak kalau hari pertandingan bagi pasukan lelaki dan perempuan diadakan pada hari yang berlainan? Dan kalau boleh semasa pelajar perempuan bermain,pelajar lelaki tak dibenarkan berada di sekitar gelanggang futsal pada masa itu. Bukan apa puan,saya rasa itu lebih baik.”
  “ Maksud awak apa Balqis. Saya tak faham.”
  “ Begini puan. Saya tahu permintaan saya ni macam pelik je tetapi saya rasa benda tu perlu. Bagi saya ramai je pelajar perempuan yang nak masuk pertandingan ni,tetapi kebanyakannya segan jika ada budak lelaki yang menonton pertandingan itu nanti.Sama seperti saya.Nanti kami semua rasa tak bebas untuk bermain sebab banyak benda yang perlu dijaga nanti. Lagipu tak elok juga jika pelajar lelaki melihat pelajar perempuan bermain.Dorang kan kena jaga pandangan puan.hehe..” terang Balqis panjang lebar.
  “ Awak ni macam-macam la Balqis.Memandangkan permintaan awak tu tak susah untuk saya lakukan, saya boleh je keluarkan notis pemberitahuan pasal benda ni. Jangan risau ya Balqis. Lepas ni pastikan pasukan awak boleh menang sebab awak semua dah boleh all out atas gelanggang kan nanti? Awak boleh bebas untuk bermain.” jawab Puan Aisyah dengan nada berseloroh.
 “ Betul ke ni puan? Alhamdulillah.Terima kasih banyak-banyak puan. Insya Allah jika ada rezeki,kami akan menang.”
  “ Awak ingat saya main-main ke? Saya serius la. Lagipun saya kagum dengan awak sebab awak sangat menjaga benda-benda yang macam ini.Awaklah orang pertama yang berani untuk mengusulkan cadangan tentang perkara ini.Sebelum ni tak pernah ada pun orang yang seberani awak tau. Tahniah saya ucapkan.”
 “ Tak de la puan.Saya rasa bertanggungjawab untuk cakap pasal benda ni.Allah yang bagi kekuatan untuk saya bersuara. Terima kasih sekali lagi puan.Saya minta diri dahulu. Assalamualaikum.” Balqis mengakhiri perbualannya sambil mencium tangan Puan Aisyah.
“ Baik betul budak ni..” kata Puan Aisyah sambil matanya mengekori pergerakan Balqis sehingga hilang daripada pandangan matanya.
   Balqis betul-betul bersyukur kerana Allah telah mempermudahkan urusannya. Sebenarnya sudah dua hari dia mahu berjumpa dengan Puan Aisyah tetapi baru hari itu dia berkesempatan. Dan pertemuan tersebut betul-betul melegakan hatinya kerana pada mulanya dia takut kalau Puan Aisyah menolak cadangannya itu. Nasib baik Puan Aisyah seorang yang memahami. Dia mahu segera memberitahu berita gembira itu kepada Misha. Dia terus mencapai telefon bimbitnya dan menghantar  message kepada Misha.

    Assalamualaikum.Misha,jom pergi lunch sama-sama.Ada benda saya nak beritahu awak ni. See you at kafe at 11 a.m. Insya Allah.
                                                                                                          Message delivered-
    Beberapa minit kemudian,Misha membalas messagenya.

  Waalaikumussalam.Ok.Nanti aku pergi dengan  Mila dan Heliza. See you soon.

                                                          
         *****

   “ Mana dorang ni? Dah pukul 11.15 ni..Mungkin kuliah dorang habis lambat kot hari ni.” ngomel Balqis di dalam hati.Balqis memang selalu berbaik sangka terhadap kawan-kawannya. Dia sangat penyabar kerana dia tahu sabar itu separuh daripada iman.Dia tidak suka marah-marah kerana dia tahu marah itu amalan syaitan. Dia teringat sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

  “ Sesungguhnya marah itu dari syaitan dan syaitan diciptakan daripada api.Jika salah seorang daripada kalian marah,maka hendaklah dia berwuduk.”
                                                                            -Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud-

   
    Sambil menunggu rakan-rakannya dia membaca buku yang baru dibelinya dua hari lepas yang berjudul “ Islam Untuk Semua”. Buku itu dirasakan sangat menarik kerana menerangkan secara terperinci tentang Islam yang mana kebanyakannya tidak diketahuinya. Balqis suka menambahkan ilmunya tentang agama melalui pembacaan kerana melalui pembacaan dia dapat memahaminya dengan lebih mendalam.
      “ Assalamualaikum Balqis. Khusyuk membaca nampak.Sorry sangat-sangat kami dah terlambat. Tadi kelas habis lewat sebab Encik Zaini nak habiskan syllabus hari ni jugak.” tegur Heliza.
    “ Waalaikumussalam.Tak pelah.Saya dah agak dah tadi. Membaca kan jambatan ilmu cik Heliza.Daripada membuang masa,baik saya baca buku ni.” balas Balqis.
    “ La,tak kanlah kau tak tahu lagi Heliza.Kan si Balqis ni ulat buku. Pantang ada masa free,mesti baca buku. Aku pun tak faham kenapa la dia boleh jadi minat sangat membaca ni.” sampuk Misha.
  “ Kau ni pun Misha.Biarlah dia. Kau patut bersyukur tau sebab jika kita ada apa-apa masalah boleh tanya Balqis ni.Tak kisahlah pasal study ke hal-hal agama ke,insya Allah dia boleh jawab. Dia banyak ilmu sebab dia rajin mencari.Tak macam kau,nak tunggu orang suap je.” bebel Mila.
  “ Amboi,sesedap strawberi je kau mengata aku.Kau pun samalah. Dua kali lima je dengan aku.”balas Misha.
  “ Dahlah. Apa gaduh-gaduh ni. Tak malu ke orang dok tengok tu.Awak berdua tu perempuan,jaga sikit suara dan tingkah laku tu. Tengok macam Heliza cakap lemah-lembut.Tu baru betul. Cepat pergi ambil makanan.Ada perkara yang saya nak beritahu ni.” kata Balqis untuk meredakan keadaan.
  Setelah membayar makanan,mereka duduk kembali ke meja makan.
 “ Hah,apa yang kau nak cakap Balqis.Aku dah tak sabar nak dengar ni.” Misha memulakan perbualan.
“ Sebenarnya Puan Aisyah dah bersetuju dengan cadangan saya. Dia bersetuju untuk mengadakan tarikh pertandingan futsal bagi pelajar lelaki berlainan dengan pelajar perempuan. Dan dia juga sudah bersetuju dengan cadangan saya supaya pelajar lelaki tidak boleh menonton semasa perlawanan antara pelajar perempuan.Puan Aisyah cakap dia akan mengeluarkan notis pemberitahuan dalam masa yang terdekat.” terang Balqis.
“ Yeke? Alhamdulillah.Bagus la awak Balqis. Saya bangga mempunyai kawan macam awak.Sangat menjaga batas-batas pergaulan dalam Islam.” puji Heliza dengan nada yang gembira.
 “ Kalau macam tu,baru lah best nak main.Tak payah nak control sangat. Kita boleh main sepuas-puasnya nanti.Inilah masanya untuk kita tunjukkan bakat kita yang dah memang terserlah.Hehe.” kata Mila.
“ Eh Mila.Sejak bila kau ada bakat main futsal ni? Jangan nak perasan ok.Bakat yang terserlah tu Balqis je ok. Bukan kau. Selain Balqis,kita semua ni tak pandai tau main futsal. Aku mengaku aku memang tak pandai main,tapi untuk suka-suka apa salahnya masuk kan? Bila lagi nak mencuba.Peluang di depan mata,ambil je la.”sampuk Misha.
  “ Tak pe.Itu semua tak penting.Yang penting kita semua bersemangat untuk bermain dan perlu ada usaha. Menang atau kalah itu semua ketentuan ALLAH. Sebenarnya saya nak sangat join pertandingan ni sebab nak merapatkan lagi ukhuwah dengan kamu semua. Bukan sebab nak menang.” kata Balqis.
  “ Betul kata Balqis tu. Sejak masuk semester kedua ni kita jarang melakukan aktiviti bersama.Semua sibuk dengan hal masing-masing.So,kita boleh jadikan pertandingan ni sebagai satu medium untuk merapatkan lagi ukhuwah di antara kita. Insya Allah,yang penting niat kita ikhlas kerana Allah.Jangan risau,nanti kita minta la tunjuk ajar daripada Balqis.Boleh kan Balqis?” pinta Heliza dengan penuh bersemangat.
  “ Mestilah boleh.Kita kan satu pasukan. Insya Allah.” kata Balqis sambil memeluk bahu Mila yang duduk di sebelahnya.

                                                                        *****


   “Maya! Kau dah baca ke notis pemberitahuan pasal pertandingan futsal tu?” tanya Sofia sejurus masuk ke dalam dewan kuliah. Dia tahu Maya pasti marah dan terkejut apabila membaca notis tersebut.
    “ Hah? Kenapa? Tarikh ditunda ke? Aku tak kisah asalkan pertandingan tu tak dibatalkan. Kalau dibatalkan,memang kecewa la aku,tak boleh nak tunjuk kebolehan aku ni,tambah-tambah dekat pakwe aku,Ashraf.”balas Maya dengan angkuhnya.
   “ Memang kau tak boleh nak menunjuk pun sebab masa pertandingan nanti,pelajar lelaki diasingkan dengan pelajar perempuan.Pelajar lelaki tidak dibenarkan berada di futsal court masa perlawanan antara pelajar perempuan berlangsung.”terang Sofia.
   “ Hah? Kenapa boleh jadi macam tu? Sebelum ni tak pernah-pernah pun jadi macam ni. Tak boleh la kita nak tunjuk kehebatan kita pada pelajar lelaki nanti. Benci la kalau macam ni.” marah Maya.
  “ Kalau kau nak tahu,aku dengar ada budak junior yang usulkan benda ni kat Puan Aisyah.Puan Aisyah terus setuju.Aku pun peliklah.Perasan baik betul.”tambah Sofia.
  “ Kau tahu tak siapa budak tu?”tanya Maya. 
  “Balqis Nur Jannah.Ala,satu-satunya budak yang bertudung labuh kat kolej kita ni la.Kau pun kenal kan?” kata Sofia.
  “ Ya,memang aku kenal.Kenal sangat-sangat.” bentak Maya.

      Maya Alvina merupakan seorang pelajar senior yang popular di Kolej Belia. Dia mempunyai pakej yang lengkap,cantik,bergaya dan berbakat. Sudah dua tahun berturut-turut pasukannya menjuarai pertandingan futsal bagi kategori perempuan di kolejnya. Namun begitu,Maya mempunyai sikap yang sombong dan over-confident. Semua kejayaan yang dicapainya dirasakan atas usahanya sendiri bukan disebabkan pertolongan orang lain. Apatah lagi merasakan semua itu datangnya daripada Allah.Jauh sekali untuk dia berfikiran seperti itu. Dia agak jauh daripada agama.
      Maya masih ingat pertemuan pertamanya dengan Balqis. Dia mengimbau kembali pertemuan itu.
     “ Assalamualaikum akak. Nama saya Balqis. Ni ada pamplet pasal ceramah yang akan diadakan di surau malam esok.Tajuk dia best, “ Wanita Solehah Perhiasan Terindah”. Kalau ada kelapangan,akak datang tau.Akak boleh ajak kawan-kawan yang lain. Terima kasih.” Balqis terus berlalu tanpa banyak bicara kerana banyak lagi pamplet yang perlu diedarkannya.
    “ Ceramah? Berani betul budak ni ajak aku pergi ceramah.Tak nampak ke cara aku bergaya ni? Up-to-date! Tak sesuai la nak pergi ceramah ni dan aku tak berminat.” bebel Maya sambil tangannya menggumpalkan pamplet tersebut lalu dibuangnya ke dalam tong sampah.

                                                                    *****

    “ Balqis,sini kau kejap!”panggil Sofia.Maya berada di sebelahnya sambil menghirup air limau ais.
    “ Ya akak.Ada apa ya?” tanya Balqis ragu-ragu. Itulah kali pertama senior popular iru menegurnya.
    “ Kau ke yang bagi cadangan tu dekat Puan Aisyah? Aku bukan ape,nak tahu la jugak sebabnya.Maklumlah,kau kan orang alim.Cuba kau bagitahu kitaorang yang tak berapa nak alim ni.” sinis pertanyaan Sofia. Balqis terkedu seketika.
    “ Sebenarnya…” belum sempat Balqis menerangkan perkara itu,tiba-tiba Maya bersuara dengan nada yang angkuh.“Dah,tak payah nak explain apa-apa.Cuma yang buat aku confius sekarang,boleh ke kau nak bermain dengan tudung kau yang labuh tu? Rimas aku tengok! Tapi,aku tak kisah.Yang pasti pasukan aku akan menang nanti.Satu kolej ni dah tahu la kehebatan pasukan aku.Dah,urusan kita dah selesai.Kau boleh pergi sekarang.”
    “Astagfirullah halazim.” Balqis sangat-sangat terkilan dengan kata-kata senior-seniornya itu. Kenapa seorang yang beragama Islam boleh mengejek cara pemakaiannya yang betul-betul menutup aurat.Sedangkan itu adalah kewajipan bagi setiap orang Islam. Dia juga sedih kerana seniornya itu sangat sombong sedangkan Allah sangat-sangat tidak menyukai perbuatan itu. Dia teringat kisah di dalam al-Quran mengenai bencana yang  menimpa kebun-kebun pemiliknya yang angkuh dan sombong. Mereka ditimpa bencana kerana mereka tidak mengucapkan ‘Insya Allah’ dan sangat pasti akan dapat memetik hasilnya pada keesokan harinya. Kebun itu terbakar dan hanya tinggal arang-arang yang hitam. Kisah itu difirmankan oleh Allah dalam surah al-Qalam ayat 17-20.

  “ Sungguh,Kami telah menguji mereka (orang musyrik Mekah) sebagaimana Kami telah menguji pemilik-pemilik kebun,ketika mereka bersumpah pasti akan memetik (hasilnya) di pagi hari.Tetapi mereka mengecualikan (dengan mengucapkan, “Insya Allah”).Lalu kebun itu ditimpa bencana (yang datang) dari Tuhanmu sewaktu mereka sedang tidur.Maka jadilah kebun itu hitam seperti malam yang gelap gelita.”

     
Balqis sangat takut dengan ancaman Allah di dalam al-Quran itu. Namun,dia hanya mampu untuk berdoa agar senior-seniornya itu diberikan taufik dan hidayah. Dan dia juga memohon agar dirinya tidak tergolong dalam orang-orang seperti itu.Sesungguhnya dia juga insan yang lemah yang memerlukan pertolongan daripada Allah setiap masa.

                                                                    *****

   “ Balqis,aku dengar kau kena sound tadi dengan kak Maya dan kak Sofia.Betul ke?” tanya Misha memerlukan kepastian. Sebelum itu,dia bergegas menuju ke bilik Balqis kerana mahukan penjelasan daripada Balqis sendiri bukannya daripada orang lain.
  “ Tak de lah sampai kena sound. Dorang cuma tanya saya pasal notis tu lah.Dia nak kepastian betul ke tak saya yang usulkan cadangan itu kat Puan Aisyah.Itu je. Macam mana awak tahu pasal benda ni?”giliran Balqis pula bertanya.
   “ Dah dalam dewan kuliah aku tadi bising-bising pasal benda ni.Ada dua tiga orang budak lelaki kelas aku terdengar masa korang bercakap kat kafe tadi. Dorang perasan sebab suara kak Maya agak tinggi masa tu.Tapi dorang pelik sebab riak muka kau tak berubah pun masa tu. Kalau aku kena marah macam tu,memang aku lawan balik la.Bukan salah kita pun kan?”terang Misha.
    “ Eh,tak boleh lah macam tu. Kan Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

     “ Orang yang kuat adalah bukan terletak pada kemampuan berkelahi tetapi orang   yang kuat adalah orang yang dapat mengendalikan diri mereka ketika marah.”
                                                                                                     -Hadis riwayat Ahmad-

     
 “ Jadi,jika kita nak marah kat seseorang,kita kena cepat-cepat istigfar,cuba untuk memaafkan dirinya dan mengingati kelebihan orang itu.Insya Allah dengan itu kemarahan kita akan reda.Lagipun,saya ok jela.Tak de lah sampai tahap trauma tak nak keluar bilik dah lepas ni.hehe.”jawab Balqis dengan nada berseloroh.
   “ Yela.Aku bangga dengan kau Balqis.Aku akan cuba jadi macam kau.hehe.Oh ya,bila kita nak start berlatih ni? Aku,Mila dan Heliza dah tak sabar nak tendang bola ni.Lagipun pertandingan tu tinggal seminggu je lagi.Sempat ke tak nak berlatih ni Balqis?”tanya Misha penuh bersemangat.
   “ Insya Allah sempat.Kalau macam tu petang ni lah kita start berlatih.Kita cari tempat yang memang tak ada orang guna.Baru best!”cadang Balqis.
   “ Ok la kalau macam tu.Nanti aku bagitahu Mila dan Heliza.Mesti dorang excited nanti.Pukul 5.30 petang ok tak?”
  “ Insya Allah boleh.Jangan lupa suruh dorang bawa Mathurat sekali.Sebelum start berlatih,boleh baca mathurat sama-sama.”pesan Balqis.
  “Ok.Baiklah,aku balik dulu.Jumpa petang nanti.Assalamualaikum.”
  “ Waalaikumussalam.By the way,thanks tau sebab datang bertanya khabar saya ni.”
  “ No problem.Kau kan kawan aku.”Misha mengakhiri perbualan sebelum keluar dari bilik Balqis.

                                                                *****

     “ Sebenarnya dalam bersukan pun kita boleh berdakwah tau.”kata Balqis sambil menendang bola ke arah Heliza.
    “ Hah,betul ke? Tapi macam mana nak berdakwah? Macam susah je.” tanya Heliza.
    “ Tak susah pun.Senang je.Dalam tak sedar sebenarnya,kita semua ni dah berdakwah sikit-sikit. Cuba tengok pakaian masing-masing? Semua telah menutup aurat dengan sempurna walaupun dalam pakaian sukan.Ini adalah dakwah secara perbuatan.Bila orang lain tengok,mereka mungkin akan tersedar yang tak susah pun nak betul-betul menutup aurat ni.Mungkin mereka tergerak hati untuk mencuba.Yang penting kita berusaha untuk jadi contoh yang terbaik sebagai seorang yang bergelar Muslim.Insya Allah.
      “ Wah,betullah.Sekarang baru aku perasan. Dalam masa yang sama juga,masa bermain ni,kita boleh berkongsi tentang ilmu yang kita ada kan? Kalau macam tu,aku nak share tentang satu artikel yang aku baca ni. Pesanan Imam Ghazali tentang wanita. Pesan Imam Ghazali,dia melarang lelaki mengahwini wanita yang enam ini,antaranya ialah wanita syadaqah. Wanita syadaqah ni maksudnya banyak bercakap tetapi tidak menentu dan bising.Yang lima ciri lagi aku tak ingat.Nanti aku bagitahu korang balik. Aku bukan apa,aku rasa wanita syadaqah ni macam dekat dengan diri aku.Korang pun tahu kan mulut aku ni bila dah bercakap susah nak berhenti.Tapi aku akan cuba untuk mengawalnya dan bercakap benda-benda yang baik sahaja.Insya Allah.”terang Misha panjang lebar.
     “Hmmm…menarik betul perkongsian Misha.Tu lah,benda yang remeh ni kita terlepas pandang. Terima kasih Misha. Satu perkongsian yang sangat berguna walaupun ringkas dan boleh dijadikan pengajaran untuk kita semua. Insya Allah.”puji Balqis.
     “Ish..ish..ish..Tak sangka aku Misha ada bakat berdakwah sebenarnya. Aku bangga dengan kau.”tambah Mila.
     “Tak de lah.Aku kongsi apa yang aku tahu je.Tak payah nak puji aku lebih-lebih ok?”kata-kata Misha itu membuatkan mereka semua ketawa. Latihan pada petang itu dirasakan cukup bermakna kerana walaupun giat berlatih,mereka tetap tidak lalai daripada mengingati Allah. Banyak benda yang dikongsi pada petang itu.    
                                                   
                                                          *****

      “
GOL!” Mila menjerit setelah bola yang ditendangnya menembusi gol pihak lawan. Semua penonton yang hadir bertepuk tangan. Sungguh dia tidak menyangka dia dapat menjaringkan gol di minit-minit akhir perlawanan setelah kedua-duanya seri tanpa jaringan. Dia dapat rasakan itu adalah pertolongan Allah buat pasukannya. Sebelum ini,hanya Balqis yang menjaringkan gol bagi perlawanan-perlawanan sebelumnya. Siapa sangka pada peringkat separuh akhir itu,dia menyumbang untuk pasukannya.
     “ Alhamdulillah.Hebat la awak Mila.”Balqis memeluk Mila.Mereka nampak sangat gembira dengan pencapaian Mila.
     “ Jangan gembira dahulu.Perlawanan masih belum tamat.Kita kena stay focus.”kata Heliza.Dia tidak mahu rakan sepasukannya leka dengan jaringan itu,takut nanti ada padahnya.
Mereka menukar strategi untuk menguatkan bahagian pertahanan supaya pihak lawan tidak berpeluang untuk menjaringkan gol.Banyak juga percubaan yang dilakukan oleh pihak lawan tetapi semuanya tidak menghasilkan jaringan.
   “ Prittt…”pengadil akhirnya meniup wisel,tanda masa perlawanan sudah tamat.
   “ Alhamdulillah,kita berjaya!” kata Balqis sambil berlari ke arah Mila,Heliza dan Misha. Mereka berpelukan dengan erat sekali. Mereka tidak percaya akhirnya mereka akan beraksi pada peringkat akhir nanti.
    “ Korang jangan nak gembira sangat.Jangan lupa lawan korang adalah pasukan aku.Pasukan yang tak pernah kalah selama dua tahun berturut-turut.Aku rasa gol tadi tu nasib je. Aku tak rasa korang akan menang nanti. Pasukan aku lebih layak.”tiba-tiba Maya datang ke tempat mereka dan mengeluarkan kata-kata yang sangat angkuh.
   “ Akak jangan cakap besar.Menang atau kalah itu semua Allah dah tetapkan. Kitaorang pun tak kisahlah kalau kalah nanti.Kitaorang main ni sebab nak enjoy dan merapatkan ukhuwah antara kami je.Menang atau kalah itu semua tak penting. Tak pe kita tunggu dan lihat. Oh ya,sebelum tu akak kena ingat kejayaan akak yang dulu-dulu tu sebab Allah yang bagi,bukan atas sebab usaha akak.Allah cuma nak tengok usaha akak tu ikhlas atau tak.Allah tak pandang pun hasil tu,sebab Allah sendiri yang menetapkan kejayaan itu.Bukan sesiapa. Ingat tu.”Misha terus menjawab tanpa berfikir panjang.Dia perlu berani untuk bersuara lantang sebegitu supaya senior-seniornya itu sedar akan sikap mereka yang sombong itu.
  “ Whatever.”kata Sofia dengan jelingan yang tajam dan terus berlalu pergi. Sungguh,Maya dan Sofia terasa malu dan terpukul dengan kata-kata Misha,cuma mereka cuba mengawal riak muka mereka untuk mengelakkan junior mereka perasan dengan keadaan mereka ketika itu.
  “ Wah,tak sangka aku Misha kau boleh cakap begitu dengan dorang. Bagus,bagus.Baru dorang sedar sikit.”sampuk Mila.
  “ Syukurlah.Sesungguhnya Allah yang bagi aku kekuatan.Aku pun tak tahu macam mana boleh cakap macam tu.”kata Misha.
 “ Yang penting awak dah buat benda yang betul.Bagus Misha.Tak salah untuk menegur asalkan benda tu boleh buat orang tu berubah ke arah yang lebih baik lagi. Tidak kisahlah dia lebih tua atau tidak.Yang penting cara kita tu berhemah.Insya Allah,semoga Allah bagi hidayah untuk mereka berubah. Dahlah,jom balik. Dah lewat dah ni.Nak masuk waktu Magrib dah ni.”kata Balqis. Mereka terus beredar dari gelanggang futsal untuk pulang ke bilik masing-masing dan bersiap-siap untuk solat Magrib berjemaah di surau,seperti biasa.

                                                                 *****

       Pagi itu,tiba-tiba perut Balqis terasa memulas-mulas.Sudah empat kali dia keluar masuk tandas. Ciri-birit yang dialaminya pada hari itu dirasakan sangat teruk. Badannya sangat lemah dan dia tidak ada selera untuk makan.
       “ Kenapa boleh jadi macam ni.Awak salah makan ke?” tanya Heliza.
       “ Entahlah,semalam saya ok je.Pagi tadi perut ni mula buat hal.Saya rasa saya cirit-birit sebab makan kat luar semalam.Mungkin perut saya tak sesuai dengan  makanan kat kedai tu sebab tu jadi macam ni.”kata Balqis sambil menyapu perutnya dengan minyak urut.
      “ Lain kali kau kena berhati-hati. Jadi macam mana ni,pertandingan futsal kita lusa ni.Kau rasa kau boleh main tak nanti?”tanya Misha memerlukan kepastian.
      “ Insya Allah boleh kot. Saya akan cuba. Jangan risau,semua ni adalah ujian untuk kita mungkin ada hikmah semua ni.Kita tak tahu rancangan Allah untuk kita macam mana kan? Sekarang ni,kita sama-sama berdoa supaya semuanya akan berjalan lancar semasa pertandingan nanti. Kalau Allah mengtakdirkan saya tak dapat main nanti,kan kita ada pemain simpanan.Boleh dia ganti saya nanti. Mungkin itu lebih baik.”kata-kata Balqis itu benar. Tiada siapa yang dapat menyangkalnya. Semua yang terjadi atas ketentuan Allah dan Allah tidak akan menguji seseorang itu melainkan orang itu mampu untuk menanggungnya. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:

  “ Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…”
     (al-Baqarah 2:286)


“ Yang penting sekarang kau kena berehat dan makan ubat.Tak payah fikir pun pasal pertandingan tu.Kitaorang cuma nak kau cepat sembuh je. Yang lain-lain tu kita hanya tawakal je kat Allah. Insya Allah ada la tu sesuatu yang Allah nak bagi pengajaran kat kita.Mungkin kita terlebih bangga ke dengan pencapaian kita hari tu.Allah nak uji kita ni. Sama-samalah kita muhasabah diri kita balik.”kata Mila penuh bersemangat.
 “Mungkin juga sebab aku ni ada perasaan bangga bila kita dapat masuk final ni.Allah nak tegur kita supaya tidak perlu bangga dengan apa-apa pencapaian.Kita cuma perlu bersyukur dan berdoa agar kejayaan kita tu tidak melalaikan kita daripada mengingati Allah. Aku minta maaf.”sambung Misha.
 “ Ni bukan salah sesiapa la.Semua ni sudah tertulis la.Lagipun ni bukan penamatnya lagi.Mungkin Allah akan bagi peluang untuk saya bermain nanti. Kita hanya berdoa je ok?”kata-kata Balqis itu disokong oleh teman-temannya yang lain.
 “ Baik lah Balqis.Kitaorang balik dulu tau. Awak berehat dan jangan lupa makan ubat.Apa-apa hal telefon kitaorang. Assalamualaikum.”kata Heliza sebelum dia,Misha dan Mila keluar daripada bilik Balqis.
 “ Ok,insya ALLAH. Terima kasih ya semua.Waalaikumussalam.”jawab Balqis.
   Sungguh dia dapat rasakan yang ujian yang ditimpanya agak berat. Mana tidaknya,bukan hanya cirit-birit yang dialami,dia juga akan muntah setiap kali menelan makanan. Tekaknya sudah terasa perit dan loya. Tetapi pada masa yang sama dia bersyukur kerana pada hari itu juga dia datang bulan.Boleh lah dia berehat sepanjang hari. Dia yakin ada hikmah untuk segala yang berlaku.

                                                            *****

    Alhamdulillah,keesokan harinya,keadaan Balqis semakin pulih. “ Insya Allah esok mungkin aku boleh bermain.”ngomel hati kecilnya. Jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi.Biasanya pada hujung minggu,dia akan mengajak rakan-rakannya untuk bersarapan bersama-sama. Balqis menghantar pesanan ringkas kepada Misha,Mila dan Heliza.

    Assalamualaikum.Jom kita breakfast kat kafe pukul 9.30 pagi.Saya lapar lah. I’m getting better. See you soon. Insya Allah.

                                                           *****

    “ Wah,menu sarapan hari ni nampak begitu menarik!”kata Balqis.
    “ Apa yang menariknya cik Balqis oi.Kan sama je dengan menu-menu biasa.Oh ya aku lupa,lately kau kan tak ada selera nak makan.Sekarang kau dah ada selera sebab tu semua nampak macam best.” Sampuk Misha.
    “ Betul betul.Bila nikmat selera makan datang balik,saya bersyukur sangat-sangat. Kalau tak,lembik la saya.Tak ada energy! Hehe..”balas Balqis.

     Setelah membayar makanan yang diambil,mereka duduk di meja makan biasa.

   “ Esok kau pasti boleh main Balqis.Aku tengok kau dah ok dah ni.Ada kemungkinan kita menang ni.”kata Mila sambil menyuap mee goreng ke dalam mulutnya.
   “ Amboi,confidentnya awak. Tak boleh cakap macam tu sebenarnya.”jawab Balqis.
   “ Hah,kenapa Balqis? Saya rasa apa yang Mila cakap tu betul.”sampuk Heliza.
   “ Awak semua tahu tak,penggunaan perkataan Insya Allah itu sangat penting tau.Sebab bila kita dah terlampau yakin kita pasti akan melakukan sesuatu,boleh dikatakan kita sudah lupa bahawa semua yang berlaku atas izin Allah. Dalam surah al-Kahfi,Allah berfirman :

    “ Dan jangan sesekali engkau mengatakan terhadap sesuatu,,” Aku pasti akan melakukan itu besok pagi,”kecuali (dengan mengatakan) “Insya Allah”.Dan ingatlah kepada Tuhanmu ketika kamu lupa dan katakanlah, “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberikan petunjuk kepadaku agar aku lebih dekat ( kebenarannya) daripada yang ini..” (al-Kahfi18:23-24)

  
  Sambung Balqis lagi, “ Sebenarnya ayat ni Allah turunkan sebab nak bagi pelajaran kepada baginda S.A.W.Menurut riwayat,ada beberapa orang Quraisy bertanya kepada Nabi Muhammad S.A.W tentang roh,kisah Ashabul Kahfi (penghuni gua) dan kisah Zulkarnain lalu menjawab,datanglah besok pagi kepadaku agar aku ceritakan kepadamu. Dan baginda tidak mengucapkan insya Allah.Tapi rupanya sampai esok harinya wahyu terlambat datang untuk menceritakan hal-hal tersebut dan baginda tidak dapat menjawabnya.Maka turunlah ayat 23-24 ini sebagai pelajaran untuk nabi dan kita semuua.Allah juga mengingatkan jika terlupa untuk menyebutnya maka segera menyebutnya kemudian. Kita perlu mengambil iktibar daripada kisah ini.Bila dah tahu ni,boleh la kita amalkan nanti.”
  “Insya Allah!” kata Mila,Heliza dan Misha serentak.
  “ Sungguh besar maknanya.Baru saya tahu dan faham.Terima kasih Balqis kerana berkongsi ilmu itu.Kalau tak sampai bila-bila pun kami tak tahu.”kata Heliza dengan penuh tanda kesyukuran.
  “ Betul,betul,betul. Oh ya,apa kat petang ni kita berlatih untuk kali terakhir.Aku tengok pasukan senior kita tu giat je berlatih.”cadang Misha.
  “ Boleh je,insya Allah.Petang ni macam biasa,kita jumpa kat tempat biasa.Kita tak perlu rasa takut la bila tengok mereka giat berlatih.Kita cuma cuba usaha setakat yang termampu.Walaupun kita pasukan underdog,tapi tak mustahil kan kalau kita boleh menang.Itu jika Allah izinkan. Dalam al-Quran pun ada menyebut:

     “…betapa banyak kelompok kecil mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah…”
       ( al-  Baqarah 2: 249)  
 

    “
Ini berdasarkan kisah pada zaman nabi Daud a.s. Bagaimana Talut,raja pada zaman itu dan bala tenteranya berjaya mengalahkan Jalut dan bala tenteranya yang sangat berkuasa ketika itu hanya kerana keyakinan mereka yang tinggi akan datangnya pertolongan daripada Allah. Sama juga kisahnya dalam Perang Badar.” terang Balqis.
   
“ Wah,sangat menarik la bila kita baca sirah dan faham dengan hati. Banyak pengajaran yang dapat diambil sebenarnya.Tengoklah macam mana Balqis boleh ceritakan balik dengan penuh semangat.Sampai aku pun dah bersemangat sekarang ni.Insya Allah. Kita buat yang terbaik esok.” Kata Mila,memberikan perangsang kepada rakan-rakannya yang lain. Mereka hanya berserah segala-galanya kepada Allah tentang perlawanan esok.    

                                                                   *****
       Masa perlawanan hanya tinggal dua minit. Kedua-dua pasukan masih terikat tanpa jaringan.Jika diperhatikan pasukan Maya lebih menguasai perlawanan dan banyak kali percubaannya hampir menembusi gol pasukan Balqis. Namun,berkat pertolongan Allah,Misha selaku penjaga gol dapat menepis dan menangkap bola dengan kemas sekali. Sedang asyik Maya melakukan hantaran kepada Sofia,tiba-tiba Heliza dapat mencelah dan merampas bola itu kembali.Disebabkan tiada pertahanan di pihak lawan kerana semuanya tertumpu di bahagian penyerang Heliza terus mengambil peluang menendang bola ke arah gol. Walaupun jaraknya agak jauh,tetapi dia berdoa kepada Allah supaya diberikan pertolongan dan tanpa disangka-sangaka tendangan bolanya menembusi gol pihak lawan.

     Semuanya bagaikan terkedu seketika.Mereka seakan tidak percaya dengan gol yang dihasilkan Heliza dalam sekelip mata. Sejurus selepas itu,wisel ditiup menandakan waktu perlawanan telah tamat. “ Kita MENANG! Hebat kau Heliza.Alhamdulillah.”jerit Misha. Mereka terus sujud syukur di situ juga.Semua orang memerhatikan kelakuan mereka.Belum pernah ada orang sujud syukur sebelum ini jika memenangi perlawanan.

     Maya dan pasukannya bagaikan tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka dikalahkan oleh pasukan junior yang tidak berpengalaman sebelum ini. Mereka terus beredar tanpa mengucapkan tahniah kepada pasukan Balqis.

     “ Tengok mereka tu.Macam tak boleh terima hakikat je mereka kalah.” kata Mila.

     “ Mungkin semua ni ada pengajaran untuk mereka.Kita berdoa je supaya mereka sedar kenapa mereka tidak berjaya hari ini.Dan kita tidak boleh bangga dengan kejayaan ini sebab..”belum sempat Balqis menghabiskan kata-katanya,Mila,Heliza dan Misha menyambung, “ Kejayaan itu datangnya daripada Allah semata-mata. Yang penting usaha kita tu ikhlas untuk mencari redha-Nya.” Serentak,mereka pun tidak menyangka akan mengatakan benda yang sama. Mereka terus memeluk erat antara satu sama lain dan sangat bersyukur atas kejayaan itu.

     “ Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat daripada Kami sesudah ia ditimpa sesuatu kesusahan,berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur) : Ini adalah hakku (hasil usahaku semata-mata) dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat itu akan berlaku dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun),sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!” maka demi sesungguhnya! Kami akan memberitahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan,dan Kami akan memberi azab seksa yang seberat-beratnya.”
(al-Fushshilat 41:50)


           
                     
  ~ HAK CIPTA TERPELIHARA BY SITI FARAH AIMAN~

No comments:

Post a Comment