Wednesday 15 August 2012

~PRACTICE WHAT YOU PREACH~

  “Hazrul,tolong jangan bagitahu sesiapa pasal hal ni. Aku merayu sangat-sangat dengan kau. Aku tahu aku salah.Maafkan aku..” rayu Ikmal. Faizul sudah melarikan diri ke tempat lain.Dia tidak sanggup untuk melihat muka Ikmal. Hazrul masih si situ.Lidahnya kelu.Sungguh apa yang dilihat olehnya dan Faizul sukar untuk dipercayai.Benda yang dilakukan oleh Ikmal memang tidak dapat diterima.

                                                          *****

   Sudah dua hari Faizul tidak bertegur sapa dengan Ikmal. Setiap kali Ikmal menegurnya atau mengajaknya berbicara,pasti Faizul akan membisu dan menjauhkan diri. Memang tidak dapat dinafikan dia kesal dan marah dengan perbuatan Ikmal tempoh hari. Tetapi berlainan pula dengan Hazrul.Dia tidak mahu disebabkan peristiwa yang berlaku di shopping mall tempoh hari merenggangkan hubungan persahabatannya dengan Ikmal yang sudah hampir dua tahun terbina.Dia tahu akan ada hikmah untuk semua yang terjadi. Hazrul mengimbau kembali peristiwa yang berlaku dua hari lepas itu.

    “ Faizul,jom kita pergi kedai buku pula.Ana rasa dah dua tiga kedai anta dah masuk,tapi tak ada pun kasut yang dibeli. Mungkin kat sini tak ada yang sesuai dengan taste anta kot, tapi tak  pe,lepas kita pergi ke kedai buku,kita survey lagi kedai kasut kat tingkat atas pula ok?” Hazrul bersuara.Hazrul tahu rakannya yang seorang itu sangat cerewet  dalam memilih kasut. Selagi belum menjumpai kasut yang betul-betul kena dengan pilihannya,selagi itu dia akan mencari,sampai dapat.

     “ Baiklah.Ana pun dah penat dah ni. Ana pun ada juga buku yang hendak dibeli. Buku yang anta cadangkan tu, “ APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM?” Harap-harap buku tu ada dijual kat kedai buku di sini.” kata Faizul sambil mereka berjalan menuju ke kedai buku berhampiran.Sudah lama dia mahu membeli buku tersebut kerana pengisiannya sangat menarik dan cara penulisannya sangat santai.Sesuai dengan jiwa remajanya yang sedang haus dalam mencari ilmu-ilmu yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah. Dia juga mahu menjadi seperti Hazrul,seorang yang mempunyai ilmu agama yang cukup mendalam. Mungkin itu adalah kelebihan bagi Hazrul kerana dia merupakan  bekas pelajar sekolah tahfiz.

    “ Baguslah kalau macam itu.Ana sangat setuju jika anta membelinya.Berdasarkan pengalaman ana yang sudah membacanya memang buku tersebut sangat menarik dan perlu dibaca oleh setiap orang yang bergelar Islam kerana hakikatnya ramai yang tidak memahami hakikat sebenar menjadi seorang penganut Islam.Salah satu sebabnya adalah mereka dilahirkan oleh kedua ibu bapa yang muslim dan hanya menjadikan Islam sebagai warisan. Sebenarnya sangat ramai Islam yang hanya pada nama dan bukan pada perbuatan.Mereka tidak menjadikan Islam itu sebagai cara hidup yang sebenar-benarnya.Kalau anta nak tahu dengan lebih mendalam,tidak rugi untuk anta membelinya kerana biasanya pembacaan sendiri itu lebih senang dihayati dan difahami berbanding dengan penerangan daripada orang lain.Sebab ana tak mampu untuk menerangkan satu persatu isi kandungan dalam buku itu.Ana ini manusia biasa,manalah boleh ingat semua yang ada dalam buku itu.hehe.”terang Hazrul panjang-lebar.

  “Ana sangat-sangat setuju dengan anta.Ana sebenarnya kagum melihat anta dan Ikmal.Korang sangat suka menyampaikan ilmu yang berguna untuk semua orang.Ana pun seronok terlibat sama dalam program-program keagamaan yang korang anjurkan di kolej kita. Terima kasih Hazrul kerana anta sudah mengajak ana ke arah ini.Kalau tidak,ana mungkin tidak faham dengan tanggungjawab dakwah ini.”

  “ Sama-sama. Sudah menjadi tanggungjawab ana juga untuk berkongsi apa yang ana tahu supaya setiap orang dapat manfaatnya. Semua yang berlaku itu atas izin Allah dan kita kena sangat-sangat bersyukur kerana telah terpilih untuk jalan ini.Insya Allah semoga segala usaha dakwah dan tarbiah kita ini tidak sia-sia dan kita lebih berusaha untuk mencapai redha Allah.”

    “ Dah sampai rupanya.Leka sangat kita berborak tadi.”kata Faizul.

    “Alhamdulillah. Sekarang anta pergi la cari buku itu. Mudah-mudahan ada dijual di sini.”

    “ Baiklah...”kata Faizul.Belum sempat dia melangkah ke dalam kedai buku itu,tiba-tiba dia ternampak seseorang yang sangat dikenalinya.Tetapi Faizul sangat-sangat tidak percaya apa yang sedang berlaku di hadapan matanya.

    “ Ikmal!”jeritan Faizul mengejutkan Ikmal dan Hazrul. Ikmal hampir pengsan melihat Faizul dan Hazrul sedang memandangnya dengan wajah yang sangat terkejut. Seperti terkena renjatan elektrik,Ikmal terus melepaskan tangan perempuan yang berada di sebelahnya. Perempuan yang memakai selendang polka dot itu terkejut dengan tindakan drastik Ikmal.Dia hanya memerhatikan wajah Ikmal yang jelas nampak bersalah.Tiba-tiba perasaan malu dan kesal menyerbu diri Ikmal ketika itu.

    “ Owh,ini kerja kau rupanya.Patutlah aku ajak kau keluar hari ini kau kata tak nak,rupanya tengah buat dosa kat sini. Sejak bila kau pandai keluar berdating ni Ikmal?Aku mati-mati ingat kau baik,rupanya kau talam dua muka! Memang Allah dah takdirkan kita terserempak kat sini,sebab Allah nak tunjuk kat kita orang perangai kau yang sebenarnya.” Faizul terus menghamburkan kata-katanya dengan keadaan yang marah.Sungguh,dia rasa tertipu selama ini.

     “ Astagfirulllah halazim.Mengucap Faizul. Tak baik anta cakap macam tu.Bukan tu caranya kita menegur orang.Rasulullah tidak ajar kita cara yang macam tu. Rasulullah sendiri berpesan teguran itu tidak boleh sampai memalukan orang yang ditegur.Apatah lagi menyebutnya secara terang-terangan di hadapan khalayak. Itu salah.” Hazrul terus menenangkan sahabatnya itu.

     “ Ana cuma tidak sangka yang orang yang kita percayai dan hormati selama ini sebenarnya teruk! Dah,jom kita balik.Ana sudah hilang mood untuk membeli.”kata Faizul sambil berlalu pergi dengan mukanya yang merah padam menahan marah.

  “ Ikmal,diharapkan anta boleh memperjelaskan apa yang berlaku sebenarnya.Ana harap anta mempunyai hujah yang tersendiri mengapa anta boleh melakukan perkara seperti ini. Bukankah anta sendiri tahu benda itu salah? Ana sendiri pun agak terkilan dengan kelakuan anta.Tetapi ana tidak ada hak untuk menghukum anta.Assalamualaikum.”kata Hazrul lalu berlalu pergi.Teguran Hazrul itu cukup berhemah dan sangat terkesan di hati Ikmal. Dia sangat-sangat kesal dengan perbuatannya itu.

                                                                   ***** 

       Seperti biasa,selepas solat Magrib berjemaah di surau,Ikmal,Hazrul dan Faizul akan menuju ke kafe untuk makan malam. Sambil menunggu waktu Isyak,mereka akan makan bersama sambil berkongsi tentang hal-hal semasa terutamanya masalah umat Islam sekarang. Namun,pada malam itu,Faizul terlebih dahulu meninggalkan mereka.Dia tidak mahu bersua muka dengan Ikmal. Kemarahannya belum lagi reda.

     “ Ana harap anta tidak ambil hati dengan sikap Faizul. Dia perlukan masa untuk menerima semua ini.Anta kan tahu yang Faizul itu sangat kagum dengan anta.Anta mempunyai banyak ilmu agama dan selalu berkongsi dengannya. Dia pernah beritahu ana bahawa dia mahu menjadi seperti anta. Tetapi peristiwa itu seakan-akan telah memusnahkan kepercayaannya pada anta.”Hazrul bersuara setelah dia melihat Ikmal senyap,memandang sepi ke luar tingkap surau.Hanya dia dan Hazrul yang berada di dalam surau ketika  itu.

    “ Tak pe.Aku tak ambil hati pun sebab aku tahu ni semua salah aku. Memang aku dah khianati kepercayaan Faizul kat aku. Aku betul-betul menyesal. Sebenarnya tu  kali pertama aku pegang tangan perempuan tu.Aku juga manusia biasa.Kalah dengan bisikan syaitan.”
   “  Maaf jika ana bertanya.Boleh ana tahu perempuan tu siapa? Apa hubungannya dengan anta?”tanya Hazrul meminta kepastian.

   “ Dia sebenarnya teman sekolah aku.Jujur aku cakap,dia adalah perempuan pertama yang betul-betul dapat menambat hati aku. Tapi lepas itu,kita orang lost contact selama dua tahun sebab dia berpindah ke luar negara dengan keluarganya.Tiba-tiba dua minggu lepas,aku dapat message daripadanya dan dia nak jumpa dengan aku. Sepanjang tempoh tu,kita orang selalu berhubungan dan akhirnya kita orang buat keputusan nak jumpa. Dan masa tulah dia luahkan perasaannya kat aku dan aku untuk pengetahuan kau,sebenarnya aku dah setuju nak jadi boyfriendnyaAku tahu semua ini salah dan aku pun tak sedar yang semua ini berlaku dengan cepat sekali. Aku dah hanyut disebabkan oleh seorang perempuan.” kata Ikmal dengan nada yang penuh penyesalan.

    “ Syukurlah jika anta dah sedar.Anta kena cepat-cepat bertaubat dan memohon ampun kepada Allah. Wanita itu memang melemahkan lelaki,dan sebab tulah Allah berfirman dalam surah an-Nur ayat 30 yang bermaksud:

   “Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman,hendaklah mereka
   menahan pandangannya.”  


 
“ Maksudnya kita kena berusaha untuk menjaga pandangan daripada perkara-perkara yang boleh melalaikan kita,kerana pandangan itu akan menimbulkan syahwat dan mendorong kita terjatuh ke dalam maksiat dan dosa. Nauzubillah.” terang Hazrul.

  “ Ya,semua itu aku tahu, Cuma aku yang tak amalkan.Aku juga tahu tentang hadis nabi tentang menjaga pandangan tetapi aku tak ikut pun apa yang nabi pesan.Aku memang teruk Hazrul.”

     “ Pandangan itu satu daripada panah-panah iblis.”   
                             -Hadis riwayat al-Hakim dan at-Tabarani-


     “
Tak pe.Yang penting anta sudah menyesal dan mahu bertaubat.Insya Allah semua yang berlaku ini pasti ada hikmahnya.Setiap manusia itu tak terlepas daripada buat kesilapan dan diharapkan kesilapan yang  dilakukan tu boleh dijadikan iktibar kepada diri kita dan juga orang lain. Dah masuk waktu Isyak ni,ana mahu azan dahulu.Insya Allah ada kelapangan nanti kita bincang lagi tentang hal ini.Ana masih ada banyak benda lagi untuk beritahu anta.” kata Hazrul,menamatkan perbualannya dan mereka bersedia untuk menunaikan solat Isyak berjemaah.

                                                               *****

    Malam itu suasana sangat mendamaikan.Hujan yang turun tidak begitu lebat. Sengaja Faizul membuka tingkap di dalam biliknya.Angin yang bertiup dirasakan cukup nyaman sekali. Setelah pulang daripada surau,dia terus balik ke biliknya untuk mengulangkaji pelajaran.Peperiksaan semakin hampir dan dia perlu belajar bersungguh-sungguh.Sudah menjadi kebiasaan dia akan memasang lagu-lagu ketuhanan semasa dia menelaah pelajaran.
Sedang asyik menelaah,tiba-tiba pintu rumahnya diketuk.

    “ Ni mesti Hazrul terlupa nak bawa kunci ni.”ngomel hatinya. Biasanya Hazrul tidak pernah terlupa untuk membawa kunci walaupun dia tahu Faizul berada di rumah kerana rakannya itu tidak mahu menyusahkannya untuk membuka pintu. Rakan serumahnya itu memang seorang yang sangat baik.

    “ Kejap-kejap.Ana datang!”

    Setelah  Faizul membuka pintu,dia terkejut apabila melihat bukan Hazrul yang sedang berdiri di hadapannya. Lelaki itu adalah Ikmal.

   “ Mana Hazrul.Bukan dia dengan kau ke tadi?” tanya Faizul serta-merta.

   “ Ada junior nak jumpa Hazrul kejap.Nanti dia balik.Aku datang ni sebab nak jumpa dengan kau.”

    “ Masuklah. Tapi tak ada sebab untuk kau jumpa aku sebenarnya.”

    “ Aku datang ni sebab nak minta maaf dengan kau.Aku tahu aku salah.”

    “ Kenapa nak minta maaf dengan aku? Sepatutnya kau minta maaf dengan Allah.”

   “ Itu urusan aku dengan Allah. Aku dah pun bertaubat. Tetapi sekarang aku kena minta maaf dengan kau sebab aku sudah menyakiti perasaan kau dengan kelakuan aku tempoh hari. Aku telah hampir merosakkan ukhuwah antara kita.”

  “ Aku memang tak faham kenapa kau boleh buat macam tu.Sedangkan kau tahu kan bahawa ditusuk besi itu lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal. Aku masih ingat lagi kau yang bagitahu aku pasal hadis tu. Tapi kenapa kau buat juga.Aku memang sangat-sangat kecewa dengan kau Ikmal.”kata-kata Faizul itu sangat tajam. Dia terkedu seketika. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Ada benarnya kata-kata Faizul,dia memang teruk.

      Rasulullah S.A.W bersabda, “Andai kata kepala salah seorang diantara kalian ditusuk dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya”. (HR Ath-Thobrany dan Al-Baihaqy dan dishohihkan oleh syeikh Al-Albany dalam Ash-Shohihah).


 
“ Dan satu lagi,kau patut besyukur sebab aku dan Hazrul yang nampak. Macam mana kalau orang lain dan lebih teruk lagi kalau junior yang nampak? Memang akan jadi bualan hangat dekat universiti ni nanti. Walaupun aku terkilan dengan perbuatan kau,tapi aku tak akan membuka aib kawan aku sendiri. Cuba kau sendiri bayangkan macam mana reaksi diaorang bila tengok senior yang diorang sanjung selama ini berkelakuan macam tu? Kau patut sedar kau tu seorang yang aktif dalam dakwah dan tarbiah di universiti ni,sampaikan mendapat gelaran ustaz daripada junior-junior.Kau patut fikir benda tu sebelum kau buat sesuatu yang mungkin boleh menjadi fitnah terhadap orang-orang lain yang sama-sama bergerak dalam dakwah dan tarbiah ni.Aku takut kepercayaan mereka nanti akan hilang dan akan menganggap orang-orang seperti kita ini cakap tidak serupa bikin.” Kata-kata Faizul itu membuatkan dirinya terpukul.

     Ikmal masih ingat dia selalu menjadi tempat rujukan sahabat-sahabatnya dan juga junior-juniornya untuk bertanya tentang hal-hal keagamaan kerana dia mempunyai banyak ilmu dalam  bidang itu. Dia merupakan pelajar sekolah agama elit dan ayahnya merupakan seorang ustaz yang sangat giat berdakwah. Dia sedar dia tidak mengamalkan segala ilmu yang dia ada.Dia hanya mengambil ilmu itu sebagai pengetahuan sahaja dan kebanyakannya bukan untuk difahami dan diamalkan.

    Ikmal begitu malu dengan Faizul.Faizul sangat gigih mendalami ilmu agama kerana dia hanya bersekolah di sekolah harian biasa dahulu. Faizul selalu mengatakan dirinya sangat rugi kerana sebelum ini dia tidak begitu mengambil berat tentang ilmu agama.Faizul memang mahu menjadi seperti Ikmal dan selalu berdamping dengan Ikmal walau ke mana sahaja. Dia tidak mahu terlepas daripada mendengar perkongsian daripada Ikmal.

   “ Kenapa kau diam? Dah tak ada hujah nak membalas kata-kata aku? Tidak mengapalah Ikmal.Aku sudah lama maafkan kau. Cuma aku harap kau tak ulangi perbuatan kau tu lagi.Hazrul dah ceritakan segala-galanya.  Aku rasa baik kau balik dahulu. Lagipun,peperiksaan sudah hampir.Baik kau belajar apa yang patut.Jangan risau pasal aku.Aku dah ok dah sekarang.”Ikmal pelik dengan kata-kata Faizul sebentar tadi.Tutur bicaranya sudah tidak seperti mula-mula dia masuk ke dalam rumah itu tadi. Kata-kata itu lebih lembut dan melegakan hatinya.

   “Cepat betul mood dia boleh berubah.”ngomel Ikmal di dalam hatinya.

   “ Betul ke kau dah maafkan aku ni?”tanya Ikmal memerlukan kepastian.

   “ Betul lah.Aku tak nak buat dosa kering sebab tak bertegur sapa dengan kau melebihi tiga hari.Memandangkan hari ini sudah masuk hari ketiga,so aku kena bercakap dengan kau.Lagipun,aku tidak ada hak untuk menghukum kau.Aku pun nak minta maaf sebab dah memalukan kau tempoh hari dengan teguran aku yang agak lantang itu. Aku pun bersalah juga.”jawab Faizul bersahaja.

  “Terima kasih Faizul.Terima kasih banyak-banyak.”kata Ikmal lalu memeluk rakannya itu.Erat,rasa tidak mahu dilepaskan.  

  “ Dah dah.Jangan peluk aku lama-lama sangat.Kau kan tahu aku macam mana.Aku geli sikit bila ada orang peluk aku ni.”

  “ Kenapa pula.Aku ni peluk kau sebab aku sayang kau kerana Allah.Terima kasih sahabat.” Kata Ikmal sambil menepuk-nepuk bahu rakannnya itu.

   Ikmal bersyukur kerana hubungannya dengan Faizul kembali seperti biasa. Lega rasa hatinya. Faizul pula bersyukur kerana Hazrul telah menyedarkannya bahawa melarikan diri apabila ditimpa perkara sebegini hanya akan memburukkan keadaan. Perbualannya dengan Hazrul petang tadi telah menyedarkannya bahawa perbuatannya melarikan diri daripada Ikmal tidak begitu rasional. Dia cuba mengimbau kembali perbualannya dengan Hazrul petang tadi.
                                                             
    “ Ana rasa hari ini sudah masuk hari ketiga anta tidak bertegur sapa dengan Ikmal. Anta marah lagi ke dengan Ikmal?”

    “ Ana tidak marah. Cuma perasaan terkilan ana itu masih ada. Ana susah untuk menerima hakikat bahawa Ikmal boleh berkelakuan seperti itu. Ana tidak mahu dia jadi orang munafik. Ana sayangkan dia.”

    “ Kata sayang tapi ana tengok tak ada pun usaha anta untuk mendekatinya. Anta lebih menjauhkan diri daripada Ikmal.Sedangkan apabila sahabat itu ditimpa kesusahan dan sudah melakukan kesalahan,kita yang sepatutnya berada di sampingnya dan memberikan sokongan dan nasihat.Bukannya dengan menghukumnya dengan cara sebegini. Dan anta pun tahu kan tidak boleh tidak bertegur sapa melebihi tiga hari.Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a katanya,

  “ Sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda : Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki,belakang-membelakang (sindir-menyindir).Jadilah sebagai hamba-hamba yang bersaudara.Haram seorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya.”

    “ Ya ana tahu dan ana tidak ada niat pun untuk menghukumnya.Ana cuma perlukan masa untuk menerima semua ini. Dan bila difikirkan balik,ana pun sebenarnya bersalah kerana telah memarahi Ikmal tempoh hari.Ana tidak berfikir dahulu sebelum bercakap.Tu sebabnya ana tidak bertegur dengan Ikmal kerana ana malu dengan tindakan ana itu.”

    “ Baguslah kalau anta sudah sedar.Alhamdulillah. Kita patut jadikan Rasulullah S.A.W sebagai teladan yang terbaik. Untuk pengetahuan anta,cara teguran Rasulullah sangat lembut dan menghormati manusia sebagai anak adam kerana manusia itu diciptakan mempunyai hati  dan perasaan. Walaupun orang itu bersalah,kita tidak boleh memarahi dan menghukum orang itu terus.Kita kena tanya dahulu apa sebab mereka melakukan kesalahan itu. Rasulullah S.A.W mengajar umatnya supaya membuat teguran bukan untuk memalukan atau memburukkan seseorang,kerana memburukkan seseorang yang bersalah itu boleh mendorongnya supaya berterusan melakukan kesalahan itu.”

  “ Ya ana tahu ana silap di situ.Terlalu mengikutkan perasaan.”

  “ Alhamdulillah. Cuba kita ambil kisah pada zaman sahabat.Baginda pernah memarahi sahabatnya,Khalid al-Walid apabila dia mencaci seorang wanita Bani Ghamid yang berzina ketika menjalankan hukuman rejam ke atas wanita itu. Tindakan Rasulullah ini menunjukkan  sikap dan jiwa yang murni yang terhindar daripada mencela walaupun kepada musuh.”terang Hazrul dengan bersemangat.

   “ Ana tidak menafikan bahawa semua itu betul.Terima kasih Hazrul.Anta memang expert dalam memberi nasihat dan motivasi kepada orang lain. Ana yakin anta akan dapat capai cita-cita anta untuk menjadi seorang pakar motivasi Islam suatu hari nanti.Insya Allah.”

  “Haha.Ada ada saja anta ni.Insya Allah.Setiap orang mempunyai logamnya yang tersendiri. Cuma adakah kita menggunakan logam kita itu untuk kerja-kerja dakwah dan tarbiah ataupun tidak.Macam anta, ana tengok sangat berbakat dalam melukis.Jadi bolehlah anta gunakan kebolehan yang  Allah berikan itu untuk jalan dakwah. Buat komik yang Islamik.”

  “ Insya Allah. Jazakallah khair. Nampaknya ana kena bertemu  dengan  Ikmal malam ini. Ana sepatutnya tidak boleh bersikap begitu kerana baru sekali Ikmal melakukan kesalahan. Ana sepatutnya berfikir bahawa sudah banyak kebaikannya terhadap ana,bukan sahaja dari segi perkongsian ilmu,tetapi juga sebagai seorang sahabat yang baik. Disebabkan satu kesalahan,ana telah melupakan kebaikan-kebaikannya yang lain yang begitu berguna untuk diri ana.Ana dapat berubah pun sebab anta dan dia.Maksudnya dengan izin Allah.Terlalu kecil kesilapannya itu jika hendak dibandingkan dengan masa,tenaga dan wang ringgit yang telah dia peruntukkan untuk jalan dakwah ini. Semua orang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan ana pun mendapat ibrah daripada kejadian itu. Setiap yang berlaku insya Allah ada hikmahnya dan Allah itu Maha Pengampun.”

   “ Syukurlah kalau macam itu.Ana tahu anta seorang sahabat yang baik dan ana tahu tidak lama ana merajuk dengan  Ikmal. Tidak mengapa,malam ini ana akan mengajaknya datang ke rumah kita.Insya Allah.”

  “ Merajuk? Mana ada.Hehe. Boleh juga kalau macam tu.Ana mahu buat gimik sikit.”

  “ Gimik? Untuk apa?”

  “Adalah.”

“ Ada-ada saja anta ni.” Kata Hazrul sambil tertawa melihat riak muka Faizul yang nakal,seolah-olah misinya pada malam itu  pasti akan berjaya untuk mengenakan Ikmal.

                                                     *****

     “ Ana dengar semalam ada orang buat gimik. Yang jadi mangsanya anta.Anta ok ke Ikmal?”tanya Hazrul kepada Ikmal sambil  mereka berjoging di tepi padang pada petang itu.

    “ Macam mana kau tahu ni? Mesti si Faizul yang bagitahu? Memang dah tak ada orang lain dah. Sebab semalam aku dan dia je ada kat rumah kau.Ke kau pasang spy ni? Hehe.” sengaja Ikmal berkata demikian kerana mahu berseloroh.

   “ Ana mana la ada masa nak pasang spy ni. Mestilah si Faizul yang bagitahu.”

   “Oh ya,dari tadi lagi aku tak nampak pun kelibat Faizul ni.Dia tidak jogging sekali ke petang ni?”

   “ Astagfirullah halazim.Ana lupa untuk beritahu anta. Dia ada usrah dengan junior. Ana tengok dia sudah boleh menjadi naqib yang baik.Sudah nampak peningkatan dalam dirinya.”

  “ Syukurlah kalau macam itu. Aku pun yakin dia akan pergi jauh dalam bidang dakwah ini.Sebab dia sangat gigih mencari ilmu dan sangat suka untuk berkongsi dengan orang lain.Dia tidak mudah putus asa.”

   “ Betul tu.Ana sangat-sangat setuju,itulah ciri-ciri yang perlu ada bagi setiap yang bergelar Muslim. Oh ya,ceritalah apa sebenarnya yang terjadi semalam.Ana pun mahu tahu  juga.”

   “Owh,bila diingat balik kelakar pun ada.Aku tak sangka yang Faizul pun ada bakat terpendam yang lain,iaitu lakonan.Kau tahu tak semalam bila aku masuk  je dalam rumah korang,dia terus marah aku.Tapi tak adalah marah sangat cuma  dia meluahkan  perasaan yang terbuku kat hati dia tu. Siap keluarkan hadis lagi.Memang masa tu aku rasa sangat terpukul dengan kat-katanya.Tapi apa yang dia cakap semuanya betul. Aku tidak boleh menafikannya. Sampaikan lidah aku ini kelu untuk berkata-kata.Disebabkan terlalu lama aku berdiam diri,dia tiba-tiba cakap yang dia dah maafkan aku.Yang aku pelik nada suaranya berubah 360 darjah,sangat lembut dan seperti memujuk aku.Rupa-rupanya dia memang sengaja nak kenakan aku,nak tengok reaksi aku macam mana.”

   “ Haha.Kelakar juga si Faizul ni. Dia rindukan anta sebenarnya.Kan sudah tiga hari dia tidak bertegur dengan anta.Yang penting,semuanya sudah selesai.Syukur alhamdulillah.”

   “ Alhamdulillah.Sekarang aku rasa sangat lega dan aku telah mendapat ibrah daripada peristiwa tempoh hari. Memang aku dah cukup solat lima waktu sehari siap berjemaah kat surau lagi.Amalan sunat alhamdulillah setakat ini tidak aku lupakan. Ilmu tentang Islam juga banyak yang aku tahu.Tapi dari segi kelakuan lain aku tidak jaga.Memang depan korang aku nampak baik.Sebenarnya aku tidaklah baik seperti yang korang sangkakan. Batas-batas pergaulan antara aku dan perempuan tidak dijaga sangat.Aku belum mengambil Islam secara keseluruhan.Masih banyak perkara yang perlu aku perbaiki.”

   “ Kita sama-sama dalam proses belajar.Syukurlah jika setiap yang berlaku itu Allah tunjukkan hikmahnya. Itu menunjukkan Allah masih menyayangi anta sebab Dia tidak mahu anta terus berbuat dosa.”

   “ Betul,itulah apa yang aku rasakan sekarang.Aku sudah tidak berhubung dengan perempuan itu lagi dan aku telas menjelaskan segala-galanya kepadanya.Syukurlah,dia boleh terima dan aku berserah kepada Allah.Jika dia betul jodoh aku, aku yakin akan tiba masa yang Allah telah tetapkan  aku dan dia disatukan dengan ikatan yang sah.Insya Allah. Tetapi sekarang aku mahu memperbaiki diri aku dengan lebih baik lagi. Walaupun aku telah membuat perkara-perkara besar tetapi aku tidak boleh mengabaikan perkara-perkara kecil sebegini. Sebab itu belum menjamin kejayaan aku di sana nanti. Ya memang betul aku telah melaksanakan yang wajib,tetapi dengan lubang-lubang jahiliah yang aku lakukan itu tidak mustahil dijadikan alasan oleh Allah untuk tidak redha dengan aku dan tidak memasukkan aku ke syurganya yang kekal abadi.Itulah satu kerugian yang paling besar. Aku sangat-sangat takut. Dan yang paling aku takut bila aku terbaca sebuah hadis daripada Rasulullah mengenai azab orang yang tidak melaksanakan apa yang diperkatakan.Dan aku pernah menjadi seperti itu. Sabda Rasulullah S.A.W :

    Seorang yang dihadapkan di hari kiamat.Kemudian dilemparkan ke neraka,maka keluar ususnya dan dia berputar di dalam neraka seperti seekor keldai berputar mengelilingi pengisar agndum dalam kandang. Ahli neraka mengerumuninya lalu bertanya, “Mengapakah engkau? Bukankah dahulu engkau mencegah manusia daripada perkara mungkar dan menyuruh kepada kebaikan?” Dia menjawab,
 “ Memang benar,aku menyuruh orang melakukan kebaikan tetapi aku sendiri meninggalkannya  dan aku menegah manusia melakukan kemungkaran sedangkan aku melakukannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )


 
  “ Aku betul-betul menyesal Hazrul.Aku tidak mahu dicampakkan ke neraka.Nauzubillah.”
kata-kata Ikmal betul-betul menunjukkan penyesalannya .Air matanya bergenang,menunggu masa untuk mengalir ke pipi.

    “ Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Jangan risau Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya. Ana pun terkesan dengan kata-kata anta.Ana pun akan cuba untuk memperbaiki diri juga sebab manusia itu memang bersifat lemah,imannya turun dan naik dan tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Yang penting sekarang ilmu yang dicari dan ilmu yang kita dapat itu perlu kita amalkan. Ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah. Sia-sia,tiada hasil. Insya Allah kita cuba untuk melaksanakan apa yang kita tahu. Bila kita tahu benda itu salah,kita kena terus berhenti melakukannya. Bila kita jahil,Allah berikan kita ilmu,dan bila dah dapat ilmu itu,Allah suruh kita amalkan supaya boleh diikuti oleh orang lain. Kita tidak boleh hanya pandai bercakap tetapi amalannya kosong. Allah S.W.T telah memberikan amaran yang keras di dalam al-Quran :

  “ Wahai orang-orang yang beriman,kenapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” ( As-Shaff 61:2-3)
   “ Alhamdulillah,terima kasih Hazrul.Kau dan Faizul telah menyedarkan aku. Terima kasih sahabat. Korang lah kawan aku dunia dan akhirat.”

    “Itu semua datangnya daripada Allah. Ana dan Faizul hanya menzahirkan. Dah nak masuk waktu Magrib ni. Ana rasa lebih baik kita pulang dahulu untuk bersiap-siap ke surau.”

    “ Betul tu.”

    “ Oh ya,jangan lupa pula kuliah Magrib malam ni turn anta tau. Semoga perkongsian anta nanti boleh memberi manfaat untuk semua dalam mencari redha Allah.”

    “ Aku rasa aku tahu apa yang hendak dikongsikan. Aku cuba untuk berkongsi tentang pengajaran yang aku dapat daripada peristiwa tempoh hari.Insya Allah.”

    “ Insya Allah. Semoga Allah mempermudahkan segalanya. Jom kita pulang.”

   “Jom.”

    Mereka melangkah pulang dengan semangat baru.Di sebalik setiap kejadian yang berlaku, pasti ada hikmahnya.Insya Allah. 
 
                                                      *****

                                  Iman itu bukan hanya harapan,
                         Iman adalah apa yang terpancar di dalam hati,
                                  Dan dibuktikan dengan amalan.

 
      ~HAK CIPTA TERPELIHARA BY SITI FARAH AIMAN~



No comments:

Post a Comment